Skip to main content

Dunia

AS tarik sekatan tentera laut di pelabuhan Iran selepas perjanjian

X @CENTCOM
Semua usaha penguatkuasaan sekatan tentera AS telah dihentikan, menurut CENTCOM. - Gambar fail/CENTCOM

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan tentera laut yang berlarutan selama berminggu-minggu ke atas pelabuhan Iran berikutan perjanjian rangka kerja yang dicapai dengan Tehran, kata tentera AS pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Kapal-kapal yang melakukan perjalanan ke atau dari Iran tidak lagi akan dihalang daripada transit di wilayah itu atas arahan Presiden Donald Trump, kata Komando Pusat AS (CENTCOM), yang menyelia operasi ketenteraan di Timur Tengah dalam catatan di X.

"Semua usaha penguatkuasaan sekatan tentera AS telah dihentikan," menurut CENTCOM. 

Langkah itu berikutan perjanjian rangka kerja yang dimeterai antara kedua-dua pihak, termasuk peruntukan yang menjamin kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, laluan air penting dan strategik untuk perdagangan global yang terletak antara Iran dan Oman.

Sementara itu, Iran telah memperkenalkan keperluan untuk kapal komersial yang ingin melalui Selat Hormuz supaya mengemukakan permohonan terlebih dahulu, menurut akhbar Tehran Times pada Khamis, memetik sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi negara itu.

Pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengawasi trafik melayari laluan air strategik itu telah diarahkan untuk memproses semua permohonan dengan segera dan berdasarkan keutamaan, selaras objektif perjanjian rangka kerja dua hala dengan AS, menurut laporan itu.

Tiada bayaran transit akan dikenakan sepanjang tempoh rundingan 60 hari yang diperuntukkan di bawah perjanjian itu, menurut majlis tersebut.

Pada masa sama, CENTCOM menegaskan bahawa tentera AS akan kekal ditempatkan di rantau itu.

Kehadiran berterusan adalah bertujuan untuk memastikan "semua aspek perjanjian itu dipatuhi, dan berkuat kuasa serta berkesan sepenuhnya".

Kurang seminggu lepas, CENTCOM berkata 139 kapal telah dialihkan sejak sekatan bermula pada 13 April.

Sembilan kapal lagi enggan patuh dan oleh itu dijadikan "tidak boleh beroperasi", menurut CENTCOM.

Sekatan itu tertumpu terutamanya di kawasan sekitar Selat Hormuz, walaupun tentera AS turut mengambil tindakan terhadap kapal tangki minyak individu yang beroperasi jauh dari laluan air berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement