BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, mengeluarkan kenyataan ekstrem dengan menuntut agar seluruh Lubnan musnah dibakar susulan pengumuman tentera rejim mengenai kematian empat anggota mereka dalam pertempuran di selatan Lubnan.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Ben-Gvir menegaskan bahawa keselamatan warga dan tentera Israel perlu diutamakan berbanding sebarang pertimbangan diplomatik antarabangsa, termasuk hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).
"Dengan segala hormatnya kepada pihak Amerika, Israel mesti menjelaskan kepada seluruh dunia bahawa darah anak-anak kami dan keselamatan rakyat kami bukan perkara murahan. Seluruh Lubnan mesti dibakar musnah," tulis Ben-Gvir dalam hantaran tersebut.
על כל דמעה של אמא ישראלית, אלף אמהות לבנוניות צריכות לבכות. לבנון כולה צריכה לבעור!
עם כל הכבוד לאמריקאים, ישראל חייבת להבהיר לעולם כולו שדם בנינו וביטחון אזרחנו איננו הפקר. לבנון כולה צריכה לבעור. חובתנו העליונה היא להגן על אזרחי ישראל ועל חיילי צה״ל, והמחויבות הזו קודמת לכל…— איתמר בן גביר (@itamarbengvir) June 19, 2026
Ben-Gvir turut mendedahkan desakan yang dikemukakan kepada perdana menteri Benjamin Netanyahu dalam mesyuarat peribadi mereka, dengan menyatakan bahawa bagi setiap tangisan seorang ibu di Israel perlu dibalas dengan tangisan 1,000 ibu di Lubnan.
Tambahnya, pendekatan ketenteraan yang agresif perlu untuk menghancurkan sepenuhnya ancaman di rantau Asia Barat.
Sementara itu, pandangan sama turut disuarakan menteri kewangan Israel Bezalel Smotrich yang menuntut tindak balas amat keras dengan menyifatkan waktu ini sebagai masanya untuk membuka "pintu neraka" terhadap Lubnan.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Smotrich menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai satu situasi yang sukar buat rejim berkenaan.
"Ia merupakan pagi yang sukar. Sudah tiba masanya untuk berbicara dengan api. Untuk membuka pintu neraka," kata Smotrich dalam hantaran tersebut sebagai desakan agar serangan ketenteraan berskala besar dipertingkatkan.
בוקר קשה.
וידום אהרון.
זמן לדבר באש. לפתוח את שערי הגיהנום.— בצלאל סמוטריץ' (@bezalelsm) June 19, 2026
Kenyataan provokatif itu menyusul selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan kematian empat anggotanya dalam pertempuran sengit di wilayah selatan Lubnan.
Menerusi kenyataan di saluran Telegram rasmi tentera, salah seorang mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Leftenan Dor Gedalia Ben Simhon, 32, yang memegang jawatan sebagai komander Batalion Ke-52 di bawah Briged Ke-41.
Situasi di sempadan Israel-Lubnan dilaporkan terus meruncing apabila kedua-dua belah pihak saling berbalas serangan udara dan darat, meskipun terdapat usaha diplomatik serantau yang sedang digerakkan untuk meredakan ketegangan konflik berkenaan.