Skip to main content

Dunia

Rusia sedia hulur bantuan selesaikan konflik AS-Iran

People ride motorcycles near a billboard with an image of the late Iranian Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, in Tehran, Iran, May 19, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Orang ramai menunggang motosikal berhampiran papan iklan yang memaparkan imej Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di Tehran, Iran. - Foto REUTERS

MOSCOW: Rusia menyatakan kesediaan untuk membantu menyelesaikan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran melalui saluran diplomasi, sambil menegaskan bahawa ia tidak akan memaksa peranannya sebagai orang tengah.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov, berkata negaranya bersedia memberikan “semua bantuan yang mungkin” dalam usaha meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran sekiranya diminta oleh kedua-dua pihak.

“Rusia bersedia memberikan semua bantuan yang mungkin dalam menyelesaikan konflik ini, yang diketahui oleh pihak-pihak terbabit. Pada masa sama, kami tidak pernah memaksa dan tidak akan memaksa perkhidmatan kami. Namun, jika ada permintaan yang sesuai, kami akan menghulurkan bantuan,” katanya dalam temu bual dengan agensi berita TASS.

Ryabkov menegaskan bahawa Moscow kekal berpegang kepada pendekatan penyelesaian melalui saluran politik dan diplomatik, tanpa menggunakan kekerasan.

Beliau berkata Rusia sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian secara aman dan mengalu-alukan sebarang usaha bagi menghidupkan semula rundingan antara AS dan Iran.

Pendirian tersebut selari dengan dasar lama Rusia yang berulang kali menawarkan diri sebagai perantara dalam konflik berkaitan program nuklear dan ketegangan serantau yang melibatkan Iran.

Dalam masa sama, Ryabkov turut mengiktiraf peranan aktif Pakistan dalam membantu menstabilkan situasi dan memudahkan proses rundingan antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, usaha Islamabad dalam mewujudkan saluran komunikasi antara Washington dan Tehran dilihat sebagai langkah penting ke arah mencapai keamanan yang berkekalan.

Sumber diplomatik sebelum ini menyatakan bahawa Pakistan memainkan peranan sebagai perantara dalam beberapa rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Konflik antara AS dan Iran terus menjadi tumpuan global selepas beberapa siri insiden ketenteraan dan ketegangan geopolitik di Asia Barat sejak akhir Februari lalu.

Walaupun terdapat usaha ke arah gencatan senjata dan rundingan damai, perbezaan pendirian dalam isu utama seperti program nuklear, sekatan ekonomi dan keselamatan maritim masih menghalang penyelesaian muktamad.

Kenyataan Ryabkov itu menunjukkan Rusia terus berusaha menempatkan dirinya sebagai pemain penting dalam usaha diplomatik serantau, sambil mengekalkan pendekatan berhati-hati agar tidak dilihat mencampuri urusan dalaman pihak terlibat.

Penganalisis melihat tawaran Moscow sebagai usaha memperkukuh pengaruhnya dalam geopolitik Asia Barat, selain mengelakkan konflik daripada berkembang menjadi krisis yang lebih besar.

 

Must Watch Video

Advertisement