Skip to main content

Dunia

Rusia dakwa serangan Ukraine ragut tujuh nyawa, cederakan puluhan lagi

[TB]_Moscow_AP
Di Wilayah Moscow pula, seramai 24 orang cedera dalam serangan dron ke atas gudang peruncit dalam talian di bandar Elektrostal, manakala dua lagi cedera di bandar Noginsk. - Gambar fail/AP

ISTANBUL: Serangan dron Ukraine semalaman di Rusia mengorbankan tujuh orang dan mencederakan puluhan yang lain, menurut dakwaan pihak berkuasa Rusia pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

Di bandar Kotovsk, dron dilaporkan menyerang sebuah gudang milik peruncit dalam talian, mengorbankan tujuh orang dan mencederakan 25 yang lain, kata Gabenor Wilayah Tambov Evgeny Pervyshov di Telegram.

Beliau berkata kebakaran di gudang itu telah dipadamkan, manakala pasukan kecemasan masih meneruskan operasi di lokasi kejadian.

Di Wilayah Moscow pula, seramai 24 orang cedera dalam serangan dron ke atas gudang peruncit dalam talian di bandar Elektrostal, manakala dua lagi cedera di bandar Noginsk, menurut Gabenor Wilayah Moscow Andrey Vorobiev.

Menerusi platform media sosial Rusia, Max, Vorobiev berkata insiden melibatkan dron turut menyebabkan kebakaran di sebuah depoh minyak di Noginsk.

Secara berasingan, Datuk Bandar Moscow Sergey Sobyanin berkata lebih 370 dron Ukraine menuju ke Wilayah Moscow sejak petang Jumaat, namun kebanyakannya berjaya dipintas sebelum sampai ke ibu negara.

Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan menerusi Telegram bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas 379 dron Ukraine di seluruh negara, termasuk di Crimea yang diilhak serta di Laut Azov dan Laut Hitam.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mendakwa tentera Ukraine menyerang "dua kemudahan logistik utama" di Wilayah Moscow dan Tambov di Rusia.

Di platform media sosial X, Zelenskyy turut berkata tentera Ukraine menyerang sebuah kemudahan minyak, namun tidak menyatakan lokasinya.

"Selain itu, serangan jarak sederhana Ukraine turut menyasarkan sasaran di perairan Laut Azov dan Laut Hitam serta di Crimea yang diduduki buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Staf Am Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas satu peluru berpandu berpandu dan 69 dron di kawasan utara, selatan dan timur negara itu.

Tentera Laut Ukraine pula memaklumkan seorang maut dalam serangan Rusia ke atas infrastruktur pelabuhan di Odesa yang turut merosakkan kapal kargo kering VENTURO.

"Hasil operasi menyelamat itu, seramai 17 kelasi awam warga Filipina berjaya dipindahkan dengan selamat ke darat," menurut kenyataan itu menerusi platform media sosial Facebook.

Lima lagi cedera di Wilayah Kherson, Ukraine selepas serangan Rusia mengenai sebuah kenderaan awam pada awal pagi, menurut pentadbiran tentera wilayah itu menerusi Telegram.

Dakwaan kedua-dua pihak itu tidak dapat disahkan secara bebas berikutan perang yang masih berterusan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement