Skip to main content

Dunia

Protes di AS: Lapan individu dipenjara puluhan tahun atas dakwaan kaitan 'antifa'

[TB]_Benjamin Song ICE Facility_X @RT_com
Benjamin Song dijatuhi hukuman maksimum 100 tahun penjara selepas didapati bersalah melepaskan tembakan dalam demonstrasi pada 4 Julai. - Foto X/RT

TEXAS: Seorang bekas anggota simpanan Marin Amerika Syarikat dan tujuh individu lain dijatuhi hukuman penjara puluhan tahun atas kes menembak seorang pegawai polis ketika demonstrasi di sebuah pusat tahanan imigresen di Texas tahun lalu.

Benjamin Song dijatuhi hukuman maksimum 100 tahun penjara selepas didapati bersalah melepaskan tembakan dalam demonstrasi pada 4 Julai di luar Pusat Tahanan Prairieland berhampiran Dallas.

Tujuh lagi tertuduh menerima hukuman antara 30 hingga 70 tahun.

Pihak pendakwaan menyifatkan insiden itu sebagai tindakan “keganasan” dan mendakwa kesemua tertuduh mempunyai kaitan dengan gerakan aktivis sayap kiri antifa, yang dilabel sebagai organisasi pengganas domestik oleh Presiden AS, Donald Trump.

Namun, pihak pembelaan menolak dakwaan tersebut dan bertegas bahawa tiada bukti kukuh mengaitkan mereka dengan antifa.

Ahli keluarga tertuduh turut meluahkan rasa terkejut dan marah terhadap hukuman berat yang dijatuhkan.

Hakim Daerah AS, Reed O’Connor, berkata kejadian tersebut bukan sekadar protes, sebaliknya merupakan “serangan terhadap demokrasi”.

Beliau menegaskan hukuman berat perlu dikenakan sebagai langkah pencegahan.

Kes ini menarik perhatian meluas kerana dikhuatiri memberi kesan besar terhadap hak kebebasan bersuara dan berhimpun di bawah Perlembagaan AS.

Menurut Jabatan Kehakiman AS, ini merupakan kes pertama melibatkan hukuman terhadap individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan antifa sejak arahan eksekutif dikeluarkan pada September lalu.

Pendakwa raya mendakwa kumpulan tersebut menunjukkan niat jahat dengan membawa senjata api, peralatan perubatan dan memakai perisai badan semasa demonstrasi.

Mereka juga mendakwa Song melepaskan tembakan selepas mengarahkan individu lain mendapatkan senjata.

Bagaimanapun, peguam tertuduh menyatakan bahawa tiada perancangan serangan dibuat, dan kehadiran senjata hanyalah untuk tujuan perlindungan diri.

Mereka turut menegaskan demonstrasi itu pada asalnya bertujuan menyatakan solidariti terhadap tahanan imigresen.

Beberapa tertuduh juga mendakwa mereka tidak terlibat dalam perancangan, malah ada yang hanya berada di lokasi tanpa menyedari sebarang insiden keganasan akan berlaku.

Kes ini terus mencetuskan perdebatan di AS mengenai batas antara keselamatan negara dan hak protes, khususnya dalam konteks penguatkuasaan undang-undang terhadap gerakan aktivis.

 

Must Watch Video

Advertisement