Skip to main content

Dunia

Projek mega Masar pacu transformasi pembangunan Mekah

View recent - Masar Project Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Projek Masar sepanjang 3.65 kilometer yang terletak di bahagian barat Mekah itu, hanya kira-kira 550 meter dari Masjidil Haram dan bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Haramain. - Gambar/ Astro AWANI/ Hilal Azmi

MEKAH: Sebuah pembangunan bandar moden dikenali sebagai Masar muncul sebagai antara projek transformasi terbesar berhampiran Masjidil Haram di sebalik kesibukan Mekah yang menerima jutaan tetamu Allah setiap tahun.

Projek Destinasi Masar dibangunkan oleh Umm Alqura for Development and Construction (UAQ) iaitu sebuah syarikat yang menerajui transformasi pembangunan kawasan sekitar Masjidil Haram.

Menurut UAQ, Masar bukan sekadar projek hartanah, sebaliknya dirancang sebagai sebuah bandar masa depan yang memberi tumpuan kepada keselesaan jemaah haji dan umrah yang dibangunkan dengan gabungan elemen kemodenan serta nilai kerohanian.

Kata UAQ, projek Masar sepanjang 3.65 kilometer yang terletak di bahagian barat Mekah itu, hanya kira-kira 550 meter dari Masjidil Haram dan bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Haramain.

Image
Masar Project Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Projek Masar sepanjang 3.65 kilometer yang terletak di bahagian barat Mekah itu, hanya kira-kira 550 meter dari Masjidil Haram dan bersebelahan dengan Stesen Kereta Api Haramain. - Gambar/ Astro AWANI/ Hilal Azmi

Kedudukan strategik tersebut menjadikan Masar sebagai antara pembangunan utama yang bakal memainkan peranan penting dalam ekosistem pergerakan jemaah pada masa depan.

“Apa yang menarik, keseluruhan konsep pembangunan Masar dirancang untuk mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran pergerakan manusia dari pintu masuk Mekah hingga ke kawasan berhampiran Masjidil Haram.

“Konsep tersebut memperlihatkan bagaimana aspek mobiliti moden diterapkan dalam pembangunan bandar suci yang saban tahun menerima jutaan pengunjung dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sewaktu Program Delegasi Media Antarabangsa anjuran Pihak Berkuasa Am Pengawalselia Media dan Suruhanjaya Diraja Bandar Raya Mekah dan Tanah Suci baru-baru ini, pengamal media berpeluang melihat sendiri perancangan masa depan projek berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Lebih menarik, Masar dilengkapi dengan infrastruktur pengangkutan termasuk rangkaian metro Mekah dan sambungan terus ke Stesen Kereta Api Haramain.

Selain itu, projek berkenaan juga dilengkapi sistem utiliti bawah tanah yang komprehensif termasuk penyejukan berpusat, bekalan air, elektrik, saliran air hujan, sistem kumbahan dan pengumpulan sisa berpusat.

Dalam masa sama, Masar mampu menampung kira-kira 158,000 orang pada satu-satu masa dengan lebih 60 peratus terdiri daripada jemaah haji dan umrah manakala sebanyak 205 lot pembangunan turut dirancang dengan jumlah keluasan binaan dianggarkan mencecah 6.7 juta meter persegi.

Must Watch Video