PERDANA Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez tampil mempertahankan pemain muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal susulan tuduhan bahawa tindakannya menunjukkan sokongan kepada Palestin sebagai menghasut kebencian terhadap Israel.
Menerusi satu hantaran di platform X pada Khamis, Sanchez menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai berlebihan, malah menegaskan pihak yang menganggap kibaran bendera sesebuah negara sebagai unsur kebencian telah hilang pertimbangan.
Beliau berkata, apa yang dilakukan Yamal hanyalah satu bentuk solidariti yang turut dirasai oleh jutaan rakyat Sepanyol terhadap nasib rakyat Palestin.
“Yamal sekadar meluahkan sokongan kemanusiaan terhadap Palestin, sesuatu yang dikongsi oleh ramai rakyat negara ini,” menurut beliau, yang turut menyifatkan perkara itu sebagai membanggakan.
Kontroversi tersebut tercetus selepas Yamal dilihat mengibarkan bendera Palestin ketika perarakan kemenangan La Liga Barcelona pada 11 Mei lalu, yang berlangsung di sekitar bandar Barcelona.
Rakaman aksi pemain berusia 18 tahun itu kemudian tersebar luas di media sosial dan menarik pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
Katz mendakwa tindakan Yamal merupakan satu bentuk provokasi yang boleh mencetuskan kebencian terhadap Israel, susulan pendirian terbukanya menyokong rakyat Palestin.
Sebelum ini, Yamal beberapa kali menunjukkan sokongan terhadap Palestin sama ada melalui perkongsian di media sosial mahupun penampilan awam, termasuk memuat naik simbol dan mesej berkaitan penderitaan penduduk Gaza.
Sokongan itu mendapat pujian daripada penyokong Palestin di seluruh dunia, namun pada masa yang sama turut mengundang kritikan daripada kumpulan pro-Israel yang melihatnya sebagai tindakan sensitif.
Isu berkenaan timbul ketika konflik di Gaza terus mendapat perhatian global, dengan tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel susulan krisis kemanusiaan yang berpanjangan di wilayah tersebut.
Dalam masa sama, Yamal kekal menjadi antara bakat muda paling menonjol dalam arena bola sepak dunia selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Barcelona serta pasukan kebangsaan Sepanyol, menurut laporan media tempatan.