Skip to main content

Dunia

Parti pemerintah Korea Selatan menang besar pilihan raya tempatan, namun berdepan risiko tewas di Seoul

Election officials count the ballots for local elections in Seoul, South Korea, June 3, 2026. Picture taken with a long exposure. REUTERS/Kim Hong-Ji TPX IMAGES OF THE DAY
Pegawai pilihan raya mengira kertas undi bagi pilihan raya tempatan di Seoul, Korea Selatan. - Foto REUTERS

SEOUL: Parti Demokratik yang memerintah Korea Selatan mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan, namun berdepan kemungkinan kehilangan jawatan penting Datuk Bandar Seoul, menurut keputusan awal pada Khamis.

Keputusan pengundian menunjukkan parti pimpinan Presiden Lee Jae Myung itu mendominasi kebanyakan kerusi di peringkat bandar dan wilayah di seluruh negara, tetapi ketinggalan tipis dalam perebutan jawatan Datuk Bandar Seoul.

Penyandang daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP), Oh Se-hoon, dijangka mengekalkan jawatannya dengan kelebihan yang sangat kecil ke atas pencabar Parti Demokratik, Chong Won-o, berdasarkan kiraan undi setakat pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan memaklumkan calon Parti Demokratik menang di Busan dan mendahului di 12 daripada 16 pertandingan mayoral dan wilayah, walaupun pengiraan undi masih berjalan di beberapa kawasan.

Kekalahan di Seoul, yang merupakan bandar terbesar dan simbol politik paling penting negara, dijangka memberi tamparan kepada pentadbiran Lee walaupun partinya mencapai kemenangan besar secara keseluruhan.

Penganalisis menyatakan penguasaan ibu negara mempunyai kepentingan politik yang besar dan boleh menjejaskan dakwaan parti pemerintah mengenai mandat nasional yang kukuh.

Namun, prestasi keseluruhan Parti Demokratik menunjukkan sokongan masyarakat yang masih tinggi terhadap kepimpinan Lee, didorong pertumbuhan eksport terutama dalam sektor cip kecerdasan buatan serta prestasi pasaran saham yang kukuh.

Pilihan raya kali ini turut dicemari isu kekurangan kertas undi di beberapa pusat mengundi di Seoul susulan kehadiran pengundi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Kekurangan itu, dilaporkan berlaku di lebih sedozen pusat mengundi, menyebabkan sebahagian pengundi terpaksa menunggu lama atau pulang tanpa sempat mengundi.

Tempoh pengundian turut dilanjutkan di pusat terjejas.

Insiden tersebut mencetuskan bantahan daripada pengundi dan kumpulan konservatif, dengan beberapa pemimpin PPP sebelum ini menggesa pengundian dihentikan dan diadakan semula, mendakwa proses itu telah “tercemar”.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya memohon maaf dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan penuh, sambil menegaskan insiden itu tidak menjejaskan keseluruhan keputusan atau memerlukan pengundian semula.

Pilihan raya ini dilihat sebagai penilaian terhadap tahun pertama pentadbiran Lee serta ujian keupayaan pembangkang bangkit semula selepas krisis politik yang melanda sebelum ini.

Sebelum ini, PPP menguasai 12 daripada 16 kerajaan tempatan, namun keputusan awal menunjukkan parti itu dijangka kehilangan beberapa kawasan walaupun berjaya mengekalkan pengaruh di ibu negara.
 

 

Must Watch Video

Advertisement