HYDERABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Selasa tegas mempertahankan hak Iran untuk memiliki peluru berpandu balistik, dengan menyatakan program peluru berpandu Tehran tidak pernah menjadi sebahagian daripada perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang diusahakan menerusi pengantaraan Islamabad.
Beliau berhujah bahawa Iran tidak seharusnya tertakluk kepada layanan dwistandard berhubung keupayaan peluru berpandunya.
Bercakap semasa rundingan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan delegasi peringkat tingginya di Islamabad, Shehbaz berkata, isu peluru berpandu balistik Iran tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan yang membawa kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dicapai antara Iran dan AS pada 17 Jun lepas.
“Tidak boleh wujud layanan dwistandard apabila sesetengah negara dibenarkan memiliki peluru berpandu balistik manakala Iran tidak.
“MoU ini tidak menyebut apa-apa mengenai peluru berpandu balistik.
“Ia tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah ada dalam agenda,” kata Perdana Menteri Pakistan itu sambil menambah bahawa pihak Iran “tidak pernah mahu membincangkan” isu peluru berpandu berkenaan.
Tindakan Shehbaz mempertahankan program peluru berpandu Iran dibuat ketika Tehran menganggap keupayaan peluru berpandunya penting untuk keselamatan negara susulan serangan yang dilancarkan Israel dan AS pada 28 Feb lepas.
Sebelum membantu dalam usaha pengantaraan yang membawa kepada perjanjian AS-Iran bulan ini, Pakistan turut memudah cara gencatan senjata sementara antara kedua-dua pihak pada April.
Shehbaz berkata beliau berterima kasih kepada Iran atas kepercayaan yang diberikan terhadap usaha pengantaraan Pakistan, yang turut melibatkan peranan aktif Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Ishaq Dar serta Panglima Tentera Darat Pakistan, Fil Marsyal Syed Asim Munir.
“Saya amat berterima kasih kepada anda dan kepimpinan Iran kerana meletakkan kepercayaan berterusan terhadap keupayaan Pakistan untuk menjadi pengantara dengan jujur dan ikhlas,” katanya.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa sebagai saudara, kami tidak akan mengecewakan anda,” kata Shehbaz kepada presiden Iran itu, menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook perdana menteri.
Bagaimanapun, Shehbaz berkata terdapat pihak tertentu yang cuba menghalang AS dan Iran daripada mencapai persetujuan.
“Terdapat pengacau di seluruh dunia yang mahu menggagalkan perjanjian damai ini,” katanya.
Israel muncul sebagai halangan terbesar kepada keamanan di Asia Barat, dengan serangan berterusannya menyebabkan kematian dan kemusnahan di Lubnan serta Palestin yang diduduki.
Presiden AS Donald Trump baru-baru ini mengakui bahawa Iran boleh memiliki peluru berpandu balistik.
“Saya katakan bahawa jika negara lain memiliki peluru berpandu balistik, adalah agak tidak adil jika Iran tidak dibenarkan memilikinya,” kata Trump kepada pemberita di Paris pada 17 Jun.
Dalam sidang media bersama Shehbaz, Pezeshkian menegaskan bahawa keupayaan pertahanan Iran tidak boleh dirundingkan.
“Jika peluru berpandu yang kami miliki untuk mempertahankan negara tidak wujud, Israel dan Amerika akan memusnahkan Iran seperti yang berlaku di Gaza tanpa menunjukkan belas kasihan kepada golongan tua mahupun muda,” kata Pezeshkian.
-- BERNAMA