Skip to main content

Dunia

Pakar undang-undang EU gesa larangan import dari penempatan haram Israel

51734647524_tbEuropeanUnionfla.jpg
Kumpulan itu turut menolak tanggapan bahawa larangan import berkenaan memerlukan persetujuan sebulat suara daripada semua negara anggota EU. -Gambar fail

BRUSSELS: Lebih 40 pakar undang-undang terkemuka Kesatuan Eropah (EU) menggesa Suruhanjaya Eropah menggunakan kuasa dasar perdagangan blok itu untuk mengharamkan semua barangan import dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Dalam pandangan undang-undang yang dikemukakan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen serta beberapa pegawai kanan EU, kumpulan itu berpendapat sekatan perdagangan merupakan asas perundangan paling sesuai bagi mengekang aktiviti ekonomi melibatkan penempatan berkenaan.

Mereka berpendapat penempatan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, justeru tindakan menyekat perdagangan dianggap langkah yang sah di sisi undang-undang.

Kumpulan itu turut menolak tanggapan bahawa larangan import berkenaan memerlukan persetujuan sebulat suara daripada semua negara anggota EU.

Sebaliknya, mereka menegaskan tafsiran itu tidak selari dengan keputusan terdahulu Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) dan lebih dipengaruhi pertimbangan politik.

Sebagai rujukan, mereka turut memetik langkah EU sebelum ini yang mengenakan sekatan terhadap import gas dari Rusia sebagai contoh tindakan perdagangan yang boleh dilaksanakan dalam situasi konflik.

Desakan itu dibuat ketika Suruhanjaya Eropah dijangka membentangkan cadangan langkah sekatan berkenaan menjelang mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar EU pada 13 Julai.

 

Must Watch Video

Advertisement