WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mempertahankan perjanjian nuklear Iran 2015 dengan menegaskan ia berjaya mengekang program nuklear Tehran tanpa mencetuskan konflik berskala besar di Asia Barat.
Dalam satu temu bual bersama CBS, Obama berkata perjanjian dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) itu berjaya mengurangkan secara drastik stok uranium diperkaya milik Iran, sekali gus menghalang negara itu daripada menghasilkan senjata nuklear.
“Kami berjaya melaksanakannya tanpa melepaskan sebutir peluru berpandu,” katanya, sambil menambah bahawa kira-kira 97 peratus uranium diperkaya Iran telah dikeluarkan di bawah perjanjian tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan perjanjian itu disokong oleh agensi perisikan AS serta Israel pada ketika itu.
Menurut Obama, pendekatan diplomasi berjaya mengelakkan pertumpahan darah dan ketegangan lebih besar di rantau tersebut.
“Tiada pertikaian bahawa ia berkesan. Dan kita tidak perlu membunuh ramai orang atau menutup Selat Hormuz,” katanya.
Perjanjian yang dimeterai pada 2015 antara Iran dan kuasa besar dunia bertujuan mengehadkan program nuklear Tehran sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan antarabangsa.
Kenyataan Obama dibuat ketika ketegangan geopolitik melibatkan Iran kembali memuncak, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai keberkesanan pendekatan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan dalam menangani isu nuklear negara itu.