JERMAN: Kewartawanan bebas memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, keselamatan negara dan usaha menangani ancaman maklumat palsu.
Perkara itu didedahkan menerusi laporan The Value of Journalism: Global Evidence on Why Media Matters to Economics, National Security and Crises yang dilancarkan pada Forum Media Global di Bonn, Jerman.
Laporan itu menunjukkan kemerosotan kebebasan media mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi sesebuah negara.
Kajian melibatkan 97 negara mendapati penurunan kebebasan akhbar dikaitkan dengan pengurangan antara satu hingga dua peratus kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain itu, setiap satu dolar yang dilaburkan dalam kewartawanan berpotensi menjana lebih 100 dolar penjimatan awam menerusi peningkatan kecekapan perkhidmatan, pengurangan rasuah dan pemulihan dana yang hilang.
Laporan berkenaan turut menekankan bahawa maklumat palsu atau disinformasi kini menjadi antara ancaman terbesar dunia dengan kos kepada masyarakat global dianggarkan mencecah antara AS$355 bilion hingga AS$516 bilion setahun.
Dalam aspek keselamatan dan hak asasi manusia, kajian melibatkan 152 negara pula mendapati akses lebih luas kepada media bebas berkait rapat dengan penurunan pencabulan hak asasi manusia serta pengurangan risiko konflik dan penindasan.
Laporan itu diterbitkan ketika industri media berdepan cabaran berterusan termasuk penyusutan dana awam, perubahan model perniagaan akibat perkembangan media sosial dan kecerdasan buatan (AI), serta pengurangan bantuan pembangunan media di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, laporan berkenaan menggesa peningkatan pelaburan awam dan antarabangsa bagi memastikan kelangsungan kewartawanan bebas sebagai elemen penting dalam pembangunan masyarakat dan demokrasi.