Skip to main content

Dunia

MSF pecat 18 kakitangan atas dakwaan penderaan seksual terhadap pelarian Sudan

The sun sets on a refugee camp set up people fleeing war in Sudan, Oct. 3, 2024, in Adre, Chad. (AP Photo/Sam Mednick)
Perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa telah berlarutan di Sudan selama lebih tiga tahun, menyebabkan lebih 11 juta rakyatnya terpaksa melarikan diri ke kawasan lain di dalam negara serta ke negara-negara jiran termasuk Chad. - Foto AP

PARIS: Organisasi kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF) telah memecat 18 kakitangannya berikutan dakwaan penderaan dan eksploitasi seksual terhadap pelarian Sudan, kata jurucakap kumpulan bantuan yang berpangkalan di Paris itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa.

Menurut MSF, insiden berkenaan dilaporkan berlaku di wilayah timur Chad.

MSF memaklumkan bahawa beberapa wanita dan kanak-kanak bawah umur yang melarikan diri dari Sudan telah mengemukakan dakwaan terhadap kakitangan organisasi bantuan berkenaan.

Satu siasatan dalaman yang dijalankan pada akhir tahun 2024 mendapati terdapat sebanyak 59 dakwaan salah laku, termasuk gangguan seksual, eksploitasi dan penderaan yang melibatkan kakitangan, pekerja harian serta penyedia perkhidmatan luar, kata MSF.

Agensi bantuan itu menyatakan tidak semua dakwaan dapat dibuktikan berikutan terdapat kes yang menyaksikan mangsa mahupun suspek yang didakwa tidak dapat dikenal pasti. Bagaimanapun, tindakan tatatertib telah diambil bagi kes-kes yang melibatkan salah laku serius.

"Tingkah laku ini merupakan pelanggaran serius terhadap nilai serta tanggungjawab MSF dan kami amat kesal atas kemudaratan serius yang telah berlaku," menurut organisasi bantuan itu dalam satu kenyataan.

MSF turut menyatakan bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk menambah baik aspek pencegahan, pengesanan serta tindak balas terhadap kes-kes gangguan sedemikian.

Organisasi itu turut mengakui terdapat kelemahan dalam proses pengambilan kakitangannya, dengan menyatakan bahawa proses saringan yang mencukupi tidak dilakukan sebelum seseorang itu diberikan pekerjaan.

Pada masa yang sama, MSF berkata persekitaran kerja kecemasan yang melibatkan golongan pelarian turut meningkatkan risiko eksploitasi berikutan faktor sumber yang terhad, populasi yang terdedah serta ketidakseimbangan kuasa yang ketara.

Perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa telah berlarutan di Sudan selama lebih tiga tahun, menyebabkan lebih 11 juta rakyatnya terpaksa melarikan diri ke kawasan lain di dalam negara serta ke negara-negara jiran termasuk Chad.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement