WASHINGTON: Dua kumpulan hak asasi manusia memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan mendakwa sekatan yang dikenakan ke atas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melanggar Perlembagaan negara itu.
Kumpulan berkenaan, 'Democracy for the Arab World Now (DAWN)' dan 'Taxpayers Against Genocide', mendakwa tindakan pentadbiran Trump itu menyekat kebebasan mereka untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin, termasuk mengemukakan maklumat dan hujahan kepada ICC.
Menurut saman yang difailkan, sekatan tersebut turut menghalang mereka daripada berhubung dengan individu yang dikenakan sekatan oleh AS kerana bimbang berdepan denda atau hukuman penjara.
Pengarah Eksekutif DAWN, Omar Shakir, berkata pentadbiran Trump menggunakan sekatan ekonomi sebagai alat untuk mengekang kebebasan bersuara.
"Pentadbiran Trump menggunakan instrumen sekatan ekonomi yang keras bukan sahaja untuk menghukum pembela hak asasi manusia, malah untuk mengawal ekspresi politik jutaan rakyat Amerika," katanya dalam satu kenyataan.
Pertikaian itu tercetus susulan langkah pentadbiran Trump tahun lalu mengenakan sekatan terhadap ICC dalam usaha memberi tekanan kepada mahkamah berkenaan supaya tidak meneruskan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza.
Pada Isnin, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut mengumumkan rancangan untuk membubarkan ICC, sekali gus meningkatkan ketegangan antara Washington dan institusi kehakiman antarabangsa itu.
ICC yang berpangkalan di The Hague, Belanda, bertanggungjawab menyiasat dan mendakwa individu yang disyaki melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai serta jenayah pencerobohan.
Setakat ini, pentadbiran Trump belum mengulas secara rasmi mengenai saman yang difailkan oleh kedua-dua kumpulan hak asasi tersebut.