Skip to main content

Dunia

Kapal tentera asing campur tangan di Selat Hormuz akan jadi sasaran Iran

The Epaminondas ship is seen during seizure by the Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) in the Strait of Hormuz, Iran, in this image obtained by Reuters on April 24, 2026. Meysam Mirzadeh/Tasnim/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY TPX IMAGES OF THE DAY
Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan maritim paling penting di dunia. - Gambar fail/Reuters

ISTANBUL: Iran pada Sabtu memberi amaran bahawa mana-mana kapal tentera yang cuba campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz atau mengganggu trafik maritim akan menjadi sasaran angkatan tentera negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut penyiar rasmi Iran, IRIB, kenyataan itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran, markas tentera bersama tertinggi negara itu yang menyelaras operasi antara angkatan tentera dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Ibu pejabat itu menyatakan pengurusan laluan air strategik berkenaan sedang dijalankan “dengan kuasa penuh” oleh angkatan tentera Republik Islam Iran.

Menurut kenyataan itu, semua kapal dagang, kapal dan kapal tangki minyak dikehendaki melalui laluan yang ditetapkan serta mendapatkan kebenaran daripada Tentera Laut IRGC.

Ia memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran terhadap peraturan itu boleh meletakkan keselamatan kapal dalam risiko serius.

Kenyataan itu turut memberi amaran kepada kapal tentera asing supaya tidak campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz oleh Iran atau mengganggu pelayaran di laluan air berkenaan.

“Sebarang percubaan oleh kapal tentera untuk campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz atau mengganggu pelayaran akan menjadi sasaran angkatan tentera Republik Islam Iran,” menurut kenyataan itu.

Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan maritim paling penting di dunia dan menjadi laluan bagi sebahagian besar penghantaran minyak global serta gas asli cecair (LNG).

Terdahulu pada Sabtu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth menolak dakwaan Iran bahawa negara itu menguasai Selat Hormuz dengan berkata: “Mereka mahu mengatakan bahawa mereka mengawal selat itu, tetapi kamilah yang mengawalnya.”

Beliau berkata perkembangan di sebalik tabir dan perjalanan rundingan menunjukkan bahawa AS kekal menguasai laluan air strategik itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lepas. Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan sebelum dilanjutkan tanpa had masa oleh Donald Trump.

Susulan rundingan yang menemui jalan buntu di bawah pengantaraan Islamabad, AS mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran sejak 13 April, termasuk yang terletak di sepanjang Selat Hormuz yang strategik.

Usaha pengantaraan masih diteruskan bagi menamatkan konflik itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement