JAKARTA: Indonesia mampu mencapai kemandirian tenaga dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang apabila kerajaan berusaha mengurangkan pergantungan pada bahan api import, kata Presiden Prabowo Subianto.
Beliau berkata rancangan pelancaran bahan api B50 pada Julai sebagai antara langkah menyokong agenda kemandirian tenaga kerajaan.
“Bahan api diesel B50 akan diproses daripada 50 peratus minyak sawit. Dengan itu, kita tidak lagi mengimport bahan api diesel dari luar negara, dan kita akan jimat banyak.
"Saya menganggarkan dalam tempoh tiga tahun, atau paling lama empat tahun, kita akan mencapai kemandirian tenaga. Kita tidak mahu mengimport apa-apa untuk keperluan bahan api kita, untuk keperluan tenaga kita," katanya dalam ucapannya sebelum menutup Minggu Peladang dan Nelayan Kebangsaan ke-17 2026 di Gorontalo, Sulawesi pada Rabu, yang disiarkan secara langsung.
Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Prabowo berkata hasil padi telah meningkat daripada kira-kira lima tan padi sehektar kepada lebih daripada 10 tan sehektar.
"Apa yang sebelum ini mengeluarkan lima tan padi, kini boleh menghasilkan lebih 10 tan, 12 tan. Ini bermakna produktiviti kita meningkat sebanyak 100 peratus," katanya.
Prabowo yang mengaitkan pencapaian itu dengan hasil inovasi, teknologi dan teknik pertanian yang dibangunkan oleh sektor pertanian, berkata Indonesia akhirnya boleh menjadi pengeluar beras utama yang mampu membantu negara lain memenuhi keperluan makanan mereka jika kemajuan itu dapat dikekalkan.
"Tidak lama dari sekarang, kita boleh menjadi jelapang padi untuk dunia. Kita boleh membantu banyak negara. Tetapi perkara utama sekarang ialah kita mesti menjaga kemajuan ini. Ia tidak boleh menjadi fenomena yang berlangsung hanya satu atau dua tahun. Sistem itu mesti mampan," katanya.
-- BERNAMA