Skip to main content

Dunia

Indonesia hantar kontinjen baharu anggota pengaman ke Lubnan

Agus Subiyanto
Agus Subiyanto berkata, majlis pelepasan Pasukan Petugas Kontinjen Garuda Indonesia (Konga) UNIFIL 2026 diadakan di Markas TNI di Jakarta Timur pada Khamis. - Gambar X @Puspen_TNI

JAKARTA: Indonesia telah mengerahkan kontinjen baharu seramai 744 anggota tentera untuk berkhidmat dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan [UNIFIL].

Panglima Tentera Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto berkata, majlis pelepasan Pasukan Petugas Kontinjen Garuda Indonesia (Konga) UNIFIL 2026 diadakan di Markas TNI di Jakarta Timur pada Khamis.

"Kehormatan negara terletak pada bahu semua tentera. Jalankan tugas anda dengan disiplin, profesionalisme dan dedikasi yang tinggi," tulisnya pada akaun Instagram rasminya.

Kontinjen baharu itu adalah untuk menggantikan kumpulan yang sedang berkhidmat di Lubnan.

Sementara itu, Pusat Maklumat TNI (Puspen TNI) dalam kenyataan memaklumkan, kontinjen Indonesia sedang melaksanakan mandat PBB di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk membantu mengekalkan kestabilan keselamatan, memantau pemberhentian permusuhan dan menyokong keadaan kondusif di selatan Lubnan.

Kontinjen baharu itu terdiri daripada 571 anggota Tentera Darat, 79 anggota Tentera Laut, 63 anggota Tentera Udara dan 31 anggota dari Markas TNI, dan akan berkhidmat di Lubnan selama setahun.

Indonesia menyumbangkan tentera pengaman kepada misi itu sejak 2006 dan merupakan antara negara penyumbang tentera terbesar misi tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement