NEW YORK: Kerosakan teruk dan gencatan senjata yang rapuh menghalang kebanyakan orang awam daripada meninggalkan pusat perlindungan untuk pulang ke kediaman mereka di selatan Lubnan, kata anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Bagaimanapun, kira-kira 19,000 orang meninggalkan pusat perlindungan semalaman, mengurangkan jumlah daripada 109,000 pada Isnin kepada lebih 90,000 pada Selasa, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB.
Penilaian bersama baharu oleh Program Pembangunan PBB dan Majlis Kebangsaan untuk Penyelidikan Saintifik Lubnan melaporkan lebih 11,000 bangunan kediaman musnah sepenuhnya dan 2,200 lagi rosak sebahagiannya semasa perlanggaran baru-baru ini.
Bagi kebanyakan keluarga, ini bermakna tiada rumah untuk kembali," kata OCHA. "Ketidakpastian yang berterusan, kemusnahan yang meluas dan ancaman yang ditimbulkan oleh senjata yang tidak meletup terus menghalang kepulangan yang selamat dan mampan."
Pejabat itu berkata seorang individu dilaporkan cedera awal minggu ini apabila senjata yang tidak meletup, diletupkan di perbandaran Mansouri di Gabenor Selatan.
“PBB dan rakan kongsi terus menyeru perlindungan orang awam dan keadaan yang membolehkan keluarga yang melarikan diri pulang ke rumah secara sukarela, selamat dan bermaruah,” menurut OCHA.
-- BERNAMA-XINHUA