Skip to main content

Dunia

Empat maut, 90 terperangkap dalam kemalangan lombong arang batu di China

Sumber: REUTERS
Sekurang-kurangnya empat pekerja dilaporkan maut manakala 90 lagi terperangkap di bawah tanah selepas paras karbon monoksida meningkat ke tahap berbahaya dalam satu kemalangan di lombong arang batu di utara China. - Gambar fail Reuters

BEIJING: Sekurang-kurangnya empat pekerja dilaporkan maut manakala 90 lagi terperangkap di bawah tanah selepas paras karbon monoksida meningkat ke tahap berbahaya dalam satu kemalangan di lombong arang batu di utara China.

Menurut agensi berita Xinhua, kejadian berlaku lewat malam Jumaat di lombong arang batu Liushenyu, wilayah Shanxi, dengan seramai 247 pelombong berada di bawah tanah ketika insiden itu berlaku.

Daripada jumlah itu, 157 pekerja berjaya dibawa keluar, termasuk empat mangsa yang disahkan terkorban.

Seramai 90 pelombong masih terperangkap, dengan 16 daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika operasi menyelamat giat dijalankan.

Wilayah Shanxi merupakan pusat utama industri perlombongan arang batu di China.

China kekal sebagai pengguna arang batu terbesar dunia serta penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau, meskipun negara itu pada masa sama giat meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada kadar yang pantas.

Walaupun tahap keselamatan lombong di negara itu menunjukkan peningkatan dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kemalangan masih kerap berlaku, terutamanya dalam industri yang sering dikaitkan dengan pematuhan prosedur keselamatan yang longgar. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement