Skip to main content

Dunia

De Beers henti operasi lombong berlian terbesar di Afrika Selatan

The company name of De Beers is displayed in Hong Kong, China September 14, 2016. Picture taken September 14, 2016. REUTERS/Bobby Yip
Menurut De Beers, tempoh penutupan itu akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan infrastruktur dan kapasiti operasi lombong. - Foto REUTERS

JOHANNESBURG: Gergasi perlombongan berlian dunia, De Beers, mengumumkan penggantungan operasi pengeluaran di Lombong Venetia, lombong berlian terbesar di Afrika Selatan, selama dua tahun susulan kemerosotan berterusan permintaan global terhadap batu permata itu.

Syarikat itu berkata langkah tersebut perlu diambil bagi mengurangkan kos operasi serta menyusun semula perniagaan ketika pasaran berlian dunia berdepan tekanan akibat kejatuhan harga dan perubahan corak pembelian pengguna.

Lombong Venetia yang terletak di bahagian utara Afrika Selatan menyumbang lebih 40 peratus daripada pengeluaran berlian negara itu dan menggaji lebih 4,000 pekerja.

Menurut De Beers, tempoh penutupan itu akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan infrastruktur dan kapasiti operasi lombong, sekali gus membolehkannya kembali beroperasi apabila keadaan pasaran bertambah baik.

Industri berlian global berdepan cabaran besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila permintaan, khususnya dari China, merosot dengan ketara.

Pada masa sama, berlian buatan makmal yang jauh lebih murah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Perubahan pilihan pengguna itu menyebabkan harga berlian mentah terus menjunam.

Indeks harga berlian mentah antarabangsa dilaporkan hampir separuh daripada paras yang dicatatkan pada 2022.

Populariti berlian buatan makmal turut meningkat disebabkan kebimbangan pengguna terhadap isu etika dalam sektor perlombongan, termasuk gaji pekerja, keadaan tempat kerja serta kesan alam sekitar.

Bagaimanapun, De Beers dan beberapa pemain utama industri turut menyesuaikan strategi perniagaan mereka dengan menghasilkan berlian buatan makmal sendiri pada harga yang lebih rendah berbanding berlian semula jadi.

Keputusan De Beers itu menimbulkan kebimbangan mengenai kesan terhadap sektor perlombongan Afrika Selatan yang menggaji hampir setengah juta pekerja dan menyumbang lebih empat peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tersebut.

Kesatuan pekerja sebelum ini berulang kali memberi amaran terhadap risiko kehilangan pekerjaan dalam industri perlombongan berikutan ketidaktentuan pasaran global.

De Beers yang dimiliki majoriti oleh Anglo American kini dilaporkan berdepan usaha penstrukturan semula korporat apabila syarikat induknya itu memberi tumpuan kepada sektor tembaga yang semakin berkembang, didorong oleh peningkatan permintaan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga.

Ditubuhkan pada 1871, De Beers merupakan antara nama paling ikonik dalam industri berlian dunia.

Syarikat itu terkenal dengan slogan pemasaran “A Diamond is Forever” yang diperkenalkan pada 1947 dan berjaya mengukuhkan kedudukan cincin berlian sebagai simbol perkahwinan dalam budaya popular global.

Namun, perubahan selera pengguna serta persaingan daripada berlian buatan makmal kini memberi tekanan besar kepada industri yang sekian lama bergantung kepada permintaan terhadap berlian semula jadi.

Keputusan menghentikan operasi di Lombong Venetia dilihat sebagai satu lagi petanda bahawa industri berlian global sedang melalui fasa perubahan besar yang memerlukan pemain utama menyesuaikan model perniagaan mereka dengan realiti pasaran baharu.
 

 

Must Watch Video

Advertisement