HYDERABAD: Pesona tropika Malaysia giat dipromosikan di Algeria di bawah kempen Melawat Malaysia 2026 ketika hubungan pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara terus meraih momentum.
Duta Malaysia ke Algeria Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata minat yang semakin meningkat dalam kalangan warga Algeria untuk melawat Malaysia terbukti dengan sambutan menggalakkan terhadap penyertaan negara pada pameran pelancongan Salon International du Tourisme et des Voyages (SITEV) 2026 baru-baru ini di Algiers.
"Malaysia mendapat tarikan unik di Algeria berikutan reputasi yang kami bina sebagai destinasi mesra dan berorientasikan keluarga. Kami menyaksikan minat yang sangat kuat dalam perjalanan sejak pelancaran perkhidmatan Air Algerie secara terus ke Kuala Lumpur pada 29 Mac.
“Kempen kami disokong oleh fakta bahawa Malaysia menawarkan kemasukan bebas visa untuk warga Algeria. Tumpuan kami adalah untuk menampilkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancongan santai dan perniagaan," katanya kepada Bernama.
Rizany berkata Malaysia dipandang tinggi dalam kalangan pelancong Algeria kerana tawaran pelancongan mesra Muslimnya, dengan pilihan makanan halal yang mudah diakses dan kemudahan solat di seluruh negara.
“Pengembara Algeria boleh meneroka Malaysia dengan fikiran yang tenang...Bagi kebanyakan rakyat Algeria, Malaysia lebih dirasai sebagai melawat keluarga berbanding ke luar negara," katanya.
Untuk terus mempromosikan Malaysia di pasaran Afrika Utara, kedutaan merancang menganjurkan program promosi buah-buahan tropika di Algeria pada Oktober, bagi menampilkan peluang perdagangan pertanian dan tarikan agropelancongan.
Malaysia menerima 19,636 pelancong dari Algeria pada 2025, mencatatkan peningkatan 14.5 peratus tahun ke tahun.
Jumlah ketibaan dari Algeria meningkat 7.8 peratus kepada 2,167 pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA