DOHA: Bapa Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang memainkan peranan besar dalam transformasi negara itu menjadi antara negara paling makmur dan berpengaruh di dunia, selamat disemadikan di Doha selepas meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Pemergian Sheikh Hamad diumumkan pada Ahad, manakala upacara pengebumiannya berlangsung secara sederhana mengikut tradisi Islam selepas solat Maghrib di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di ibu negara Qatar itu.
Para jemaah yang hadir mengenakan pakaian tradisional Qatar dan menunaikan solat jenazah sebelum jasad Sheikh Hamad dibawa keluar oleh ahli keluarga terdekat termasuk anakandanya yang juga Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Jenazah beliau kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Lusail yang terletak di utara Doha.
Menurut laporan Al Jazeera, upacara itu berlangsung dalam suasana penuh sederhana, mencerminkan keperibadian Sheikh Hamad yang dikenali tidak mementingkan kemewahan walaupun memimpin sebuah negara yang kaya raya.
Sepanjang pemerintahannya dari 1995 hingga 2013, ekonomi Qatar berkembang pesat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat lebih 24 kali ganda, didorong pembangunan agresif industri gas asli negara itu.
Hasil strateginya, Qatar muncul sebagai pengeksport terbesar gas asli cecair (LNG) dunia menjelang 2006, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara tersebut dalam pasaran tenaga global.
Pengaruh Qatar di pentas antarabangsa turut berkembang di bawah kepimpinannya, termasuk memainkan peranan sebagai pengantara dalam pelbagai konflik serantau dan global.
Sheikh Hamad juga dikenang sebagai tokoh yang meluluskan penubuhan Al Jazeera pada 1996, yang kemudiannya berkembang menjadi antara rangkaian media paling berpengaruh di dunia.
Selain itu, pemerintahannya menyaksikan penggubalan perlembagaan tetap pertama Qatar pada 2004 serta pengenalan pilihan raya perbandaran yang membolehkan wanita mengundi dan bertanding sebagai calon.
Pada 2013, beliau membuat keputusan bersejarah menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Sheikh Tamim, yang ketika itu berusia 33 tahun, dalam langkah yang jarang dilakukan oleh pemerintah monarki Teluk.
Penganalisis melihat Sheikh Hamad meninggalkan legasi besar dalam pembangunan ekonomi, pembaharuan institusi serta peningkatan profil antarabangsa Qatar, sekali gus meletakkan negara kecil itu sebagai antara kuasa berpengaruh di peringkat global. - Agensi