Skip to main content

Dunia

Bahrain penjarakan sembilan individu seumur hidup atas tuduhan bekerjasama dengan IRGC Iran

61718448965_HukumSebatPenjara.jpg
Kes ini dilihat sebagai antara tindakan undang-undang terbesar dalam usaha membanteras ancaman keselamatan berkait pengaruh luar di Bahrain. - Gambar hiasan

MANAMA: Mahkamah di Bahrain menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap sembilan individu selepas didapati bersalah melakukan apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai “tindakan bermusuhan dan keganasan” dengan kerjasama Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Menurut laporan media negara, dua lagi tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun setiap seorang selepas disabitkan kesalahan membantu IRGC dalam aktiviti yang diklasifikasikan sebagai “keganasan dan perisikan”.

Pendakwa raya memaklumkan bahawa beberapa daripada tertuduh didakwa merakam gambar lokasi penting dan strategik di Bahrain bagi pihak IRGC.

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa sebahagian individu terlibat dalam memudahkan pemindahan dana dari Iran ke Bahrain, termasuk melalui transaksi mata wang kripto, bagi membiayai operasi tersebut.

Pihak berkuasa turut mendakwa bahawa individu tempatan telah direkrut untuk menyokong pelaksanaan pelan berkenaan.

Sabit kesalahan tersebut dibuat dalam konteks tindakan keras yang dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Bahrain terhadap individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tehran.

Langkah itu menyusul selepas peningkatan ketegangan serantau susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran sejak akhir Februari lalu, yang menyaksikan Iran melancarkan serangan ke atas beberapa negara Teluk dengan menyasarkan kepentingan AS, termasuk kemudahan ketenteraan.

Pihak berkuasa Bahrain menegaskan tindakan tersebut adalah sebahagian daripada usaha menjaga keselamatan negara dan mencegah ancaman keganasan serta kegiatan perisikan asing.

Kes ini dilihat sebagai antara tindakan undang-undang terbesar dalam usaha membanteras ancaman keselamatan berkait pengaruh luar di Bahrain, ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus meningkat.

 

Must Watch Video

Advertisement