Skip to main content

Dunia

Angka korban gempa bumi Venezuela meningkat kepada 5,208

Sumber: REUTERS
Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda negara Amerika Selatan berkenaan pada 24 Jun. - Gambar/ Reuters

ISTANBUL: Jumlah kematian akibat dua gempa bumi berturut-turut yang melanda Venezuela bulan lepas meningkat kepada 5,208 orang, kata Presiden Perhimpunan Kebangsaan Jorge Rodriguez pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Rodriguez memuat naik jadual di platform media sosial X yang menunjukkan seramai 16,740 orang cedera akibat gegaran kuat itu.

Beliau berkata pihak berkuasa telah menyalurkan bantuan kepada 128,324 keluarga serta menubuhkan 107 pusat perlindungan sementara yang menempatkan 23,820 orang.

Kerajaan turut merekodkan 1,388 gempa susulan.

Kementerian Alam Sekitar Venezuela memaklumkan pelaksanaan pelan pemulihan alam sekitar yang dilancarkan bagi memulihkan kawasan pesisir pantai di La Guaira, antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi itu, menunjukkan perkembangan positif.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi Instagram kementerian itu, pihak berkuasa memaklumkan spesies tumbuhan tempatan akan ditanam bagi membantu memulihkan keseimbangan ekologi pesisir pantai serta memulihkan ekosistem setempat.

Menteri Kuasa Rakyat bagi Ekososialisme Nelson Rodriguez berkata dua gempa bumi itu menghasilkan kira-kira 2.106 juta tan sisa runtuhan di kawasan terjejas.

Beliau berkata anggaran itu diperoleh menerusi kajian pemodelan yang dijalankan secara bersama oleh kerajaan Venezuela dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud itu melanda negara Amerika Selatan berkenaan pada 24 Jun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement