TOULOUSE, PERANCIS: Airbus mengarahkan pemeriksaan segera ke atas 16 pesawat A380 selepas retakan ditemui pada komponen kritikal sayap, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap ketahanan struktur pesawat terbesar dunia itu.
Langkah itu diambil susulan arahan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) yang mewajibkan pemeriksaan terhadap struktur ‘wing spar’ pada pesawat terlibat selepas penemuan retakan semasa kerja penyelenggaraan rutin.
Airbus memaklumkan, lima daripada pesawat berkenaan perlu diperiksa serta-merta, manakala selebihnya akan menjalani pemeriksaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Retakan tersebut dikesan pada komponen struktur utama sepanjang sayap yang menanggung sebahagian besar beban aerodinamik ketika penerbangan, sekali gus berpotensi menjejaskan integriti struktur pesawat jika tidak ditangani.
Daripada 16 pesawat yang dikenal pasti, sebanyak 15 dikendalikan oleh Emirates manakala sebuah lagi oleh Qantas.
Kesemua lima pesawat yang perlu diperiksa segera pula milik Emirates.
Emirates merupakan pengendali terbesar pesawat A380 di dunia, dengan lebih separuh daripada armada global model itu berada dalam perkhidmatannya.
Airbus turut memaklumkan, semua pesawat dengan sejarah pengeluaran yang sama telah dikenal pasti, dengan pemeriksaan awal memberi keutamaan kepada pesawat berisiko tinggi.
Pengeluar pesawat berpangkalan di Toulouse itu juga akan berbincang lanjut dengan EASA bagi menentukan sama ada kerja pembaikan diperlukan selepas pemeriksaan selesai.
Sebanyak 11 pesawat lagi akan diperiksa pada peringkat seterusnya, namun perlu menjalani pemeriksaan sebelum mencapai had kitaran penerbangan tertentu yang ditetapkan.
Model A380 sebelum ini pernah berdepan isu berkaitan sayap apabila pemeriksaan berskala besar dijalankan pada 2012 selepas retakan ditemui pada komponen sambungan struktur sayap.
Insiden tersebut ketika itu membawa kepada program pembaikan besar-besaran sebelum Airbus memperkenalkan penambahbaikan reka bentuk bagi pesawat yang dikeluarkan selepas itu. - Agensi