Skip to main content

Dunia

11 maut pesawat bawa penerjun udara terhempas di Perancis

A pilot and ten skydivers died after a light aircraft crashed in Tomblaine, eastern France, on Sunday./ Reuters
Pesawat yang digunakan oleh sebuah sekolah penerbangan payung terjun itu berlepas dari lapangan terbang Nancy-Essey sebelum terhempas secara tiba-tiba kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan. - Gambar Reuters

TOMBLAINE: Sebelas individu maut selepas sebuah pesawat awam yang membawa penerjun payung terhempas di bandar Tomblaine, timur Perancis, menurut pihak berkuasa tempatan.

Juruterbang dan kesemua 10 penumpang dilaporkan terkorban, termasuk lima tenaga pengajar serta lima individu yang sedang bersiap sedia untuk melakukan terjunan payung terjun buat kali pertama.

Pesawat yang digunakan oleh sebuah sekolah penerbangan payung terjun itu berlepas dari lapangan terbang Nancy-Essey sebelum terhempas secara tiba-tiba kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata, pejabat pendakwa raya Paris telah membuka siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut beliau, sebahagian ahli keluarga mangsa menyaksikan nahas berkenaan kerana mereka berada di lapangan terbang untuk melihat terjunan pertama jenis tandem dilakukan.

Datuk Bandar Nancy, Mathieu Klein memaklumkan, beberapa mangsa maut “di hadapan mata insan tersayang mereka.”

Presiden wilayah Meurthe-et-Moselle, Chaynesse Khirouni pula berkata, ahli keluarga yang menyaksikan kejadian itu mengalami trauma psikologi yang serius.
Nuñez berkata, suasana di lokasi nahas dipenuhi “emosi yang amat kuat”, selain wujud solidariti tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap keluarga mangsa. 

Pasukan perubatan serta sokongan psikologi turut dikerahkan bagi membantu ahli keluarga dan saksi kejadian.

Pesawat tersebut dilaporkan terhempas berhampiran kawasan pinggir lapangan terbang, berdekatan kawasan perumahan dan pusat beli-belah. 

Pihak berkuasa tempatan berkata, ia hampir mengenai rumah penduduk.

Pegawai pentadbiran wilayah Meurthe-et-Moselle, Yves Seguy berkata, perbezaan beberapa meter sahaja berpotensi menyebabkan lebih banyak korban.

Beliau menambah, pesawat itu dipercayai menjunam hampir secara menegak berhampiran kawasan perumahan.

Separuh daripada mangsa yang maut merupakan jururawat, menurut presiden sebuah organisasi kejururawatan tempatan, Thierry Pechey.

“Mereka adalah rakan sekerja yang memilih untuk mencuba terjunan pertama, mungkin untuk melepaskan tekanan ketika berdepan gelombang haba yang mencabar,” katanya.

Nahas itu dilaporkan sebagai kemalangan pesawat persendirian paling maut dalam sejarah Perancis, tidak termasuk penerbangan komersial dan ketenteraan.

Seorang saksi memberitahu, dia melihat pesawat tersebut menyimpang ke sebelah kanan ketika memandu berhampiran lokasi kejadian.

“Ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Saksi itu tidak melihat detik pelanggaran akibat keadaan jalan, namun terdengar bunyi hentaman kuat. 

Setibanya di lokasi, dia cuba membantu memadamkan kebakaran pada sisa pesawat.

“Kami sedar semuanya sudah berakhir, mereka maut serta-merta. Tiada pergerakan dan jelas impaknya terlalu kuat untuk ada mangsa terselamat,” katanya.

Datuk Bandar Tomblaine, Herve Feron berkata, pesawat itu jatuh secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan jelas, dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

“Keadaan cuaca mungkin memainkan peranan, atau mungkin tidak. Saya sendiri tidak pasti,” katanya.

Setakat ini, tiada pengesahan sama ada faktor cuaca menjadi punca nahas, dan pihak berkuasa enggan membuat spekulasi sebelum siasatan selesai.

Sejak beberapa hari lalu, Perancis seperti kebanyakan negara Eropah lain, berdepan gelombang haba melampau. 

Amaran cuaca tahap jingga telah dikeluarkan bagi wilayah Meurthe-et-Moselle. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement