KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas negara, Malaysia Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak Itali, Eni telah mengumumkan pembentukan Searah, sebuah usaha sama (JV) 50:50 yang menggabungkan aset terpilih di Malaysia serta Indonesia.
Petronas melalui satu kenyataan semalam berkata JV itu adalah sebahagian daripada pendekatan yang diterajui perkongsian untuk mengukuhkan nilai portfolio, menyokong pembangunan tenaga mampan termasuk keselamatan tenaga Malaysia dan serantau.
“Direka bentuk untuk beroperasi sebagai entiti bebas, Searah menyediakan platform yang lebih tertumpu ke arah meningkatkan prestasi operasi dan mempercepatkan penciptaan nilai, sejajar dengan usaha berterusan Petronas dalam mengoptimumkan portfolionya selain mengejar laluan baharu bagi pertumbuhan.
“Dengan menggabungkan aset terpilih di seluruh Malaysia dan Indonesia, Petronas dan Eni telah membentuk sinergi dalam portfolio, kepakaran teknikal serta wawasan serantau. Pendekatan ini membolehkan skala yang lebih besar, pelaksanaan yang lebih mendalam selain penyampaian nilai yang lebih kukuh,” kata kenyataan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Searah adalah sejajar dengan fokus syarikat untuk melaksanakan disiplin yang lebih besar dalam membangunkan sumber, ditambah dengan penggunaan modal yang lebih tangkas, serta penekanan yang lebih kuat terhadap penciptaan nilai yang mampan merentas rantaian nilai gas.
“Searah dijangka membawa kedalaman operasi, daya tahan kewangan dan kapasiti pertumbuhan kedua-dua rakan kongsi dalam menangani keperluan tenaga yang semakin melonjak di rantau ini dengan pasti dan bertanggungjawab, malahan, ia menyumbang kepada keselamatan jangka panjang bekalan di Indonesia serta Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Eni Claudio Descalzi berkata Searah merangkumi strategi terbukti tertumpu kepada mewujudkan perniagaan berkualiti tinggi yang mengintegrasikan skala, kecekapan dan pertumbuhan.
Ini didorong oleh kecemerlangan Eni dalam penerokaan dan pelaksanaan projek termasuk fokus berterusan syarikat pada teknologi serta inovasi.
“Searah merupakan entiti baharu yang mantap di Asia Tenggara, yang pertama dan terbesar seumpamanya di rantau ini, menggabungkan kepakaran kami dengan Petronas untuk menyokong pembangunan sumber tenaga di Indonesia serta Malaysia, dengan komitmen yang kuat terhadap perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan tempatan,” katanya.
Penubuhan itu dibina berdasarkan memorandum persefahaman yang diumumkan pada Februari 2025 dan pemeteraian perjanjian pelaburan seterusnya yang diumumkan pada 3 Nov 2025, dengan semua kelulusan kawal selia, kerajaan serta rakan kongsi yang diperlukan telah diperolehi.
Dengan portfolio 19 aset pengeluaran dan pembangunan gas iaitu 14 di Indonesia dan lima di Malaysia, Searah bermula dengan pangkalan pengeluaran awal kira-kira 300,000 tong bersamaan minyak sehari (boe/d), menyasarkan lebih 500,000 boe/d pengeluaran mampan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
-- BERNAMA