SYARIKAT pemilik ChatGPT, OpenAI dijangka memulakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Amerika Syarikat, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
Langkah itu sekali gus meletakkan OpenAI sebaris dengan pesaing lain seperti Anthropic yang kini berada dalam 'gelembung AI.'
Menurut kenyataan itu lagi, IPO yang diterbitkan secara sulit itu akan disenaraikan di pasaran pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
"Penyenaraian itu dijangka mengambil masa bagi membolehkan syarikat melaksanakan beberapa perkara yang lebih mudah dilaksanakan selaku syarikat swasta (berbanding syarikat disenarai)," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut laporan Reuters, gergasi AI itu menyasarkan penilaian sehingga AS$1 trilion dalam pasaran saham yang boleh berlaku seawal September.
Pada penilaian tersebut, OpenAI akan menjadi sebahagian daripada gelombang syarikat bernilai trilion dolar yang muncul pantas sekali gus menguji pelabur untuk saham teknologi berdaya tinggi dalam dekad ini.
Dalam pada itu, pesaing utama, Anthropic, turut mendedahkan ia telah memfailkan IPO secara sulit awal bulan ini.
Syarikat yang mengendalikan chatbot Claude AI itu baru-baru ini mengumpul AS$65 bilion pada penilaian AS$965 bilion, meletakkannya di hadapan OpenAI dari segi penilaian pasaran.
IPO daripada Anthropic dan OpenAI dijangka mengukuhkan era transformasi dalam industri teknologi dan pasaran global, dengan AI muncul sebagai tema pelaburan utama dekad ini.
Awal tahun ini, OpenAI mengumpul AS$110 bilion pada penilaian AS$840 bilion daripada penyokong besar seperti SoftBank, Amazon dan Nvidia.
Pemfailan IPO ini menyusuli langkah OpenAI merunding semula kerjasama dengan Microsoft, salah seorang pelabur awalnya, yang membolehkan syarikat AI itu menjalin perkongsian baharu dengan Amazon dan Google.
Pelaburan awal Microsoft berjumlah AS$13 bilion sejak 2019 telah membantu melonjakkan pertumbuhan OpenAI dan memperkukuh perniagaan pengkomputeran awan Azure.
Pendapatan suku tahunan OpenAI pada akhir 2024 dianggarkan sekitar AS$1 bilion.
OpenAI ditubuhkan pada 2015 sebagai organisasi bukan untung, tetapi menubuhkan cabang berorientasikan keuntungan pada 2019 untuk menampung kos pembangunan sistem AI.
Struktur unik ini mencetuskan kontroversi apabila CEO Sam Altman dipecat seketika pada 2023 sebelum kembali selepas bantahan pekerja.
Pada Disember 2024, OpenAI mengumumkan rancangan menukar kepada syarikat berkpenintingan awam, dengan alasan langkah itu akan membantu syarikat mengumpul lebih banyak modal.
Langkah itu mendapat kritikan tajam daripada pelabur awal, Elon Musk, yang kemudian menyaman OpenAI dan menuduh Altman serta eksekutif lain menjadikan organisasi bukan untung sebagai alat keuntungan peribadi.