KUALA LUMPUR: Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan kelemahan dalam pasaran minyak mentah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata, sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam dasar Indonesia berhubung eksport minyak sawit.
"Kami menjangkakan harga akan diniagakan pada paras antara RM4,350 hingga RM4,550 minggu depan," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh meramalkan harga MSM akan mencapai paras keuntungan pada minggu tersebut atau kepada jajaran antara RM4,200 hingga RM4,300.
“Seperti biasa, pembeli fizikal akan datang dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Jun 2026 meningkat RM40 kepada RM4,430 satu tan, Julai 2026 menambah RM43 kepada RM4,463 satu tan dan Ogos 2026 naik RM49 kepada RM4,486 satu tan.
Kontrak September 2026 adalah RM53 lebih baik kepada RM4,502 satu tan, Oktober 2026 melonjak RM60 kepada RM4,525 satu tan dan November 2026 berada pada RM4,552 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 614,453 lot berbanding 493,990 lot yang dicatatkan pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka turun kepada 280,499 kontrak daripada 285,554 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei menyaksikan peningkatan sebanyak RM60 kepada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA