PUTRAJAYA: Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) perlu melaksanakan peranan kepimpinan yang lebih kukuh untuk membantu syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia berkembang melangkaui pasaran domestik dan membina daya tahan industri untuk jangka panjang, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, perkembangan geopolitik terkini di Asia Barat menekankan kepentingan untuk industri OGSE bersedia menghadapi ketidaktentuan selain meletakkan syarikat tempatan dalam kedudukan kukuh untuk merebut peluang baharu apabila usaha pemulihan dan pembinaan semula bermula.
“Krisis geopolitik di Asia Barat menjadi peringatan bahawa industri OGSE kita perlu bersedia untuk berdepan ketidaktentuan dan pada masa sama, apabila pemulihan dan pembinaan semula bermula, peluang baharu akan wujud.
“Syarikat OGSE Malaysia perlu bersedia untuk bertindak lebih awal, bersaing dengan yakin dan menawarkan nilai tambah di luar Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Saranan itu adalah antara aspek yang ditekankan oleh Akmal Nasrullah semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 semalam.
Mesyuarat itu menilai kemajuan pelaksanaan pelan tindakan itu serta membincangkan langkah untuk memperkukuh daya saing syarikat OGSE Malaysia di pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, MPRC sebagai agensi Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri OGSE, berperanan penting dalam menyelaras dan mempercepat usaha membantu syarikat Malaysia untuk menembusi dan berkembang di pasaran luar negara.
“Kita perlu mengurangkan kebergantungan yang berlebihan terhadap perniagaan domestik dan meletakkan pemain OGSE tempatan dalam kedudukan untuk merebut peluang di Asia Barat dan pasaran pertumbuhan lain.
“MPRC perlu menerajui usaha berkenaan untuk industri OGSE bukan sahaja dari segi penyelarasan malah pelaksanaan dan pemantauan kemajuan sebenar di lapangan,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menyokong syarikat Malaysia berkembang ke luar negara, MPRC perlu menjadi agensi peneraju sektor itu untuk membangunkan kapasiti, membuka akses pasaran dan membantu syarikat menjadikan peluang di luar negara kepada hasil perniagaan yang nyata.
Beliau berkata, Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 kekal sebagai rangka dasar utama untuk memperkukuh daya saing, daya tahan dan kehadiran industri OGSE Malaysia di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar berkata, agensi itu terus mempermudah kerjasama dan perkongsian strategik antara syarikat OGSE Malaysia melalui inisiatif seperti Program Juara Serantau MPRC (RCP), Program Sokongan Perkongsian Strategik OGSE dan Program Pertumbuhan Melangkaui OGSE (GBO).
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh daya saing industri bagi menjalankan projek di luar negara dan pada masa sama meneroka peluang dalam sektor peralihan tenaga yang berkait rapat dengan industri minyak dan gas tradisional.
"Usaha itu juga menyokong matlamat keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan negara, terutama ketika industri global berusaha membina daya tahan dalam persekitaran yang semakin tidak menentu," katanya.
Mengenai pelaksanaan Pelan Tindakan OGSE, Mohd Yazid berkata, lebih RM77.2 juta perolehan telah dijana menerusi projek yang dikomersialkan di bawah Geran Pembangunan OGSE sejak 2021.
Geran yang mula diperkenalkan pada April 2021 itu telah diperbaharui di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan menawarkan geran padanan 70:30 sehingga RM250,000, iaitu sehingga 2030 untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pertengahan OGSE tempatan mengguna pakai teknologi, memacu inovasi dan meningkatkan eksport.
Sehingga 31 Mei 2026, lebih 600 syarikat OGSE telah menerima sokongan dalam aspek pertumbuhan eksport, pembangunan teknologi, akses kepada pembiayaan dan perkongsian strategik di bawah Pelan Tindakan OGSE.
Lebih 500 tenaga kerja OGSE telah dilatih dan menerima kemahiran tambahan dalam sektor industri kritikal manakala lebih RM2 bilion jualan eksport telah dijana melalui program yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
-- BERNAMA