KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Bhd menggunakan sistem LOOP pertama di Asia Pasifik iaitu teknologi pengeluaran grafen dan penyahkarbonan yang dibangunkan oleh Levidian Nanosystems Ltd.
Menurut Gas Malaysia, sistem berkenaan dipasang di dalam Sistem Pengagihan Gas Asli (NGDS) miliknya dan berupaya menghasilkan grafen berkualiti tinggi daripada metana selain membolehkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih melalui baki gas yang kaya dengan hidrogen.
"Penggunaannya menandakan satu mercu tanda penting susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Jun 2025.
"Berdasarkan asas ini, Gas Malaysia dan Levidian memeterai perjanjian kerjasama serantau eksklusif bagi menyokong penggunaan sistem LOOP secara berperingkat di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia Azli Mohamed berkata penggunaan sistem ini mencerminkan komitmen kumpulan untuk memajukan penyelesaian inovatif dan rendah karbon.
“Bersama-sama Levidian, kami menyasarkan untuk menyokong pertumbuhan industri mampan serta mencipta nilai baharu daripada infrastruktur gas sedia ada,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komersial Levidian Ian Hopkins menjelaskan penggunaan sistem LOOP pertama di Asia Pasifik dengan kerjasama serantau ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam perjalanan pengkomersialan global syarikat berkenaan.
Jelasnya, perkembangan tersebut mencerminkan kemajuan ketara dalam usaha syarikat memperkukuh keupayaan dan memanfaatkan nilai jangka panjang merentasi rantaian nilai gasnya.
-- BERNAMA