KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM131.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025, meningkat 3.1 peratus berbanding RM124.3 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Prestasi kewangan itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) CBP Ke-66 yang berlangsung pada 20 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata peningkatan keuntungan tersebut didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen perbankan runcit serta aktiviti pelaburan perbendaharaan.
Beliau menjelaskan pertumbuhan deposit yang memberangsangkan turut menyokong prestasi bank, didorong oleh penambahbaikan perkhidmatan digital menerusi platform Helo CBP yang kini dilengkapi kemudahan transaksi DuitNow.
“Terdapat peningkatan deposit yang baik disokong oleh kemudahan perbankan Helo CBP yang kini mempunyai kemudahan transaksi DuitNow,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada mesyuarat berkenaan, CBP turut mengemukakan cadangan pembayaran dividen sebanyak 6.5 peratus melibatkan agihan berjumlah RM104.79 juta bagi tahun kewangan 2025.
Bagaimanapun, pembayaran dividen itu tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebelum dapat diagihkan kepada semua anggota bank koperasi berkenaan.
Mengulas prospek tahun semasa, Khairil Anuar berkata CBP menyasarkan keuntungan sebanyak RM141 juta bagi tahun kewangan 2026 dan optimis sasaran tersebut dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti pemasaran yang telah dirancang.
“Sektor perbankan runcit dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan CBP pada tahun ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kedudukan kewangan CBP dijangka terus diperkukuh menerusi pelaksanaan terbitan Structured Covered Sukuk yang bakal diperkenalkan dalam masa terdekat.
MAPT CBP ke-66 dirasmikan oleh Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (Bersara), Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Turut hadir Pengerusi CBP, Baharom Embi, bersama anggota lembaga pengarah bank berkenaan.