Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong pembelian menyeluruh

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 8.43 mata atau 0.49 peratus untuk ditutup pada 1,722.19 daripada 1,713.76 ketika ditutup semalam.

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk ditutup tinggi pada Khamis, didorong pembelian menyeluruh merentas pelbagai sektor.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.43 mata atau 0.49 peratus untuk ditutup pada 1,722.19 daripada 1,713.76 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,716.76, menandakan paras terendah harian dan mencecah paras tertinggi harian 1,726.75 semasa sesi tengah hari.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 576 berbanding 550, manakala 563 kaunter tidak berubah, 1,064 kaunter tidak diniagakan, dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.68 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 4.07 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya kekal optimis namun berhati-hati apabila kembalinya aliran masuk dana asing yang beransur-ansur terus memberikan sokongan kepada pasaran tempatan.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI mengekalkan momentum positif dan meningkat secara beransur-ansur ke arah julat 1,720 hingga 1,730 menjelang akhir minggu ini, disokong minat belian terpilih terhadap saham bermodal besar yang asasnya kukuh terutama dalam sektor kewangan, perladangan dan perindustrian terpilih,” katanya kepada Bernama.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pelabur disokong oleh jangkaan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia, yang dijadual diumumkan esok.

Beliau berkata KDNK suku kedua 2026 Malaysia yang dijangkakan kekal melebihi paras empat peratus itu mengukuhkan keyakinan terhadap pengembangan ekonomi negara yang berdaya tahan.

Keyakinan itu disokong lagi oleh kenaikan yang direkodkan Wall Street dalam tempoh semalaman selepas penurunan inflasi borong Amerika Syarikat dan satu lagi pusingan keuntungan bank yang kukuh.

Beliau berkata hal itu menguatkan jangkaan terhadap Rizab Persekutuan yang boleh mula melonggarkan dasar monetari tahun ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM11.04, Public Bank melonjak 15 sen kepada RM5.20. Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM14.30, CIMB turun satu sen kepada RM7.70, dan IHH Healthcare menguncup sembilan sen kepada RM8.53.

Bagi saham aktif, Tanco menambah setengah sen kepada 32 sen, Nationgate melonjak 20 sen kepada RM1.17, VS Industry meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen, SFP Tech menokok empat sen kepada 34 sen, manakala HHRG susut dua sen kepada 14.5 sen.

Antara saham paling untung, Nestle melonjak RM1.00 kepada RM93.00, United Plantations meningkat 30 sen kepada RM35.00, Critical Holdings menokok 24 sen kepada RM1.90, dan Fraser & Neave menambah 18 sen kepada RM29.28.

Antara saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut 46 sen kepada RM45.28, UMS Integration berkurangan 28 sen kepada RM8.03, Hong Leong Industries turun 18 sen kepada RM18.42, dan Kuala Lumpur Kepong menguncup 14 sen kepada RM21.66.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menambah 18.48 mata kepada 12,521.27, Indeks FBM 70 menokok 17.72 mata kepada 17,903.50, dan Indeks FBM ACE naik 3.36 mata kepada 4,915.11, Indeks FBM Emas meningkat 49.48 mata kepada 12,699.22 dan Indeks FBMT 100 menambah 49.09 mata kepada 12,529.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 156.43 mata kepada 20,310.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.18 mata kepada 187.93, Indeks Perladangan meningkat 34.81 mata kepada 9,473.77 manakala Indeks Tenaga turun 0.27 mata kepada 769.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.85 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 2.30 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.21 bilion unit bernilai RM151.75 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM140.74 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 615.64 juta unit bernilai RM191.99 juta berbanding 721.07 juta unit bernilai RM193.18 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 146.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (453.34 juta), pembinaan (91.72 juta), teknologi (354.99 juta), perkhidmatan kewangan (92.18 juta), hartanah (379.92 juta), perladangan (38.77 juta), amanah pelaburan hartanah (17.95 juta), dana tertutup (296,300), tenaga (115.37 juta), penjagaan kesihatan (43.47 juta), telekomunikasi dan media (19.82 juta), pengangkutan dan logistik (33.09 juta), utiliti (63.14 juta) serta amanah perniagaan (4,100).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement