LONDON: Bekas penyerang Liverpool Divock Origi mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 31 tahun, lapor PA Media/dpa.
Bekas pemain antarabangsa Belgium itu menjaringkan beberapa gol yang kekal dalam ingatan penyokong Liverpool, termasuk dua gol ketika kemenangan luar biasa 4-0 ke atas Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA serta satu gol dalam kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada final 2019.
Gol kemenangan yang dijaringkannya pada masa kecederaan dalam aksi derby Merseyside turut mencuri perhatian apabila pengurus ketika itu, Jurgen Klopp berlari masuk ke padang untuk memeluk penjaga gol Alisson Becker di bulatan tengah bagi meraikan jaringan berkenaan.
Ia merupakan salah satu daripada enam gol yang dijaringkan Origi ke gawang Everton, menjadikannya antara pemain kegemaran penyokong Liverpool.
Sepanjang bersama Liverpool, beliau menjaringkan 41 gol dalam 175 penampilan, dengan hanya 68 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.
Origi, yang memulakan karier profesionalnya bersama Lille, turut membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2020 sebelum menyertai AC Milan secara perpindahan percuma dua tahun kemudian.
Beliau kembali ke England pada 2024 menerusi pinjaman semusim bersama Nottingham Forest.
“Misi saya dalam bola sepak sebagai pemain telah tercapai,” tulis Origi di media sosial. Beliau menamatkan kontraknya bersama AC Milan pada Disember lalu.
“Saya telah merealisasikan impian zaman kanak-kanak untuk bermain di pentas terbesar dan memenangi trofi paling berprestij. Saya bersyukur kepada Tuhan atas segala-galanya.
“Kepada penyokong saya di seluruh dunia yang membantu saya menyerlah, setiap detik bersejarah, setiap gol dan setiap kenangan yang kita cipta bersama akan kekal menjadi milik kita.
“Kepada setiap kelab, jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa bersama saya, terima kasih. Anda telah membentuk diri saya jauh melangkaui apa yang berlaku di atas padang.
“Misi telah selesai. Kini saya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan. Perjalanan ini masih belum berakhir,” kata beliau.
-- BERNAMA-PA Media/dpa