Skip to main content

Malaysia

Pembentangan kewangan, belanjawan: FAM beri penjelasan rasmi kepada PJS

Sumber: BERNAMA
Menurut FAM, penjelasan tersebut dibuat, susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang telah menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta belanjawan tahunan kepada ahli-ahli gabungan, mengikut peruntukan yang ditetapkan. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukan satu surat rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) semalam, bagi memberikan penjelasan lengkap berhubung kekeliruan mengenai pembentangan penyata kewangan dan belanjawan FAM, yang telah dibangkitkan semasa Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 pada Khamis lepas (4 Jun). 

FAM dalam kenyataan memaklumkan, penjelasan tersebut dibuat, susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang telah menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta belanjawan tahunan kepada ahli-ahli gabungan, mengikut peruntukan yang ditetapkan.

“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM menghormati peranan Pejabat PJS dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997 dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan, dalam apa jua perkara yang memerlukan penjelasan lanjut,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini FAM menyangkal dakwaan bahawa badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak 2016, selain menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai mengelirukan.

FAM ketika itu memaklumkan, setiap laporan kewangan yang telah diaudit sentiasa dibentangkan dalam Kongres Tahunan termasuk Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, yang telah dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lepas.

Menurut makluman FAM itu, setiap laporan kewangan melalui proses semakan rapi pada peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Jawatankuasa Eksekutif (EXCO), sebelum dibentangkan untuk kelulusan muktamad di Kongres Tahunan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement