Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Iran dakwa AS batalkan kuota tiket untuk penyokongnya, gesa FIFA bertindak

61769554591_FIFAWorldCup.jpg
Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran mendakwa Amerika Syarikat (AS) membatalkan kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Iran bagi Piala Dunia, menyebabkan persekutuan itu tidak dapat mengagihkan tiket menerusi sistem rasminya.

ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran mendakwa Amerika Syarikat (AS) membatalkan kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Iran bagi Piala Dunia, menyebabkan persekutuan itu tidak dapat mengagihkan tiket menerusi sistem rasminya, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

Persekutuan itu memaklumkan pada Selasa bahawa peraturan FIFA dan prosedur standard memperuntukkan lapan peratus kapasiti tiket bagi setiap perlawanan kepada persekutuan yang mengambil bahagian dalam Piala Dunia. Sistem itu membolehkan penyokong setiap negara membeli tiket melalui mekanisme rasmi yang diselaraskan dengan persekutuan kebangsaan masing-masing, menurut agensi berita Tasnim.

Menurut laporan itu, persekutuan berkenaan mula menjual tiket menerusi laman sesawang rasminya bagi perlawanan Iran menentang New Zealand, Belgium dan Mesir selepas menerima kuota yang diperuntukkan.

Bagaimanapun, persekutuan itu menjelaskan kuota berkenaan kemudiannya ditarik balik, sekali gus menjadikannya mustahil untuk menyediakan walaupun satu tiket kepada penyokong pasukan kebangsaan melalui saluran rasmi dalam keadaan semasa.

Ramai penyokong bola sepak Iran dilaporkan membuat perancangan untuk menghadiri kejohanan itu berdasarkan proses rasmi yang diumumkan sebelum ini.

Menurut laporan itu, tindakan menafikan akses penyokong Iran kepada kuota tiket yang sah dan rasmi bertentangan dengan semangat pertandingan antarabangsa serta prinsip kesaksamaan antara negara yang mengambil bahagian.

Ia turut menimbulkan persoalan serius sama ada pertimbangan politik dan bukan sukan  mempengaruhi penganjuran acara bola sepak terbesar dunia itu.

Persekutuan berkenaan menegaskan bahawa penyokong Iran sekian lama menjadi antara sumber sokongan terpenting kepada pasukan kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa sambil menghormati peraturan dan prinsip profesional.

Sehubungan itu, hak sah mereka perlu dihormati sama seperti penyokong negara lain.

Persekutuan itu menggesa FIFA dan penganjur kejohanan memastikan prinsip berkecuali, keadilan serta pematuhan kepada peraturan yang diluluskan dengan membolehkan penyokong Iran menggunakan hak sah mereka.

Ia turut menegaskan yang isu di luar bola sepak tidak seharusnya menjejaskan Piala Dunia.

Ketegangan serantau meningkat pada Ahad apabila Israel mengebom Beirut walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, yang mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke utara Israel sebagai tindak balas, sebelum Israel membalas dengan beberapa siri serangan udara terhadap Iran.

Tentera Iran memaklumkan pada awal Isnin yang ia menghentikan serangan terhadap Israel, namun memberi amaran akan melancarkan tindak balas yang “menghancurkan” sekiranya serangan Israel ke atas Lubnan diteruskan.

Rantau itu kekal tegang sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada akhir Februari, yang mencetuskan serangan balas Iran terhadap Israel dan negara lain di rantau berkenaan yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Satu gencatan senjata sementara dicapai pada 8 April, namun rundingan kemudiannya terhenti berikutan pertikaian mengenai pelaksanaannya serta perkembangan serantau selepas itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement