KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Katanya, keputusan itu diambil berikutan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengumumkan keputusan mereka untuk meletakkan calon di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan.
"Di Negeri Sembilan, pasti (BN) bergerak solo kerana Pakatan Harapan telah mengumumkan mereka akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Ertinya, kita tidak ada pilihan melainkan terpaksa bertanding secara solo," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, pada Selasa.
Terdahulu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti komponen.