Skip to main content

Politik

Tamat kerjasama dengan Bersatu, Pas mungkin keluar atau dikeluarkan daripada PN - Penganalisis

SERDANG, 27 Ogos -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) hadir pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.
Pas dilihat tidak boleh menentukan hala tuju PN secara bersendirian kerana gabungan politik itu turut dianggotai Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pas berkemungkinan keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu, demikian menurut penganalisis politik.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata Pas tidak boleh menentukan hala tuju PN secara bersendirian kerana gabungan politik itu turut dianggotai Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Pas hanya mewakili satu suara sahaja... oleh kerana Pas sudah putus hubungan dengan Bersatu, ada kemungkinan tiga parti komponen dalam PN akan buat keputusan untuk mengeluarkan Pas, dan gabungan itu dijangka dipimpin Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Pas berkemungkinan membentuk penjajaran politik baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang sekali gus memecahkan lagi blok pembangkang.

“Kita akan menyaksikan dua blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), iaitu PN yang dipimpin Bersatu dan satu lagi jajaran baharu yang diterajui Pas,” katanya.

Mazlan juga berkata perpecahan antara Pas dan Bersatu berpotensi memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya sokongan Melayu tidak lagi tertumpu kepada satu gabungan pembangkang.

Semalam, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan itu, Muhyiddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Bersatu, sebagai parti pengasas PN akan terus kekal dalam gabungan berkenaan dan memperkukuh teras perjuangannya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berkata Pas dan Bersatu dijangka berdepan kesan politik susulan keputusan itu selain cabaran besar dalam meraih sokongan pengundi.

Beliau berkata Bersatu dijangka lebih terkesan kerana banyak bergantung kepada kekuatan jentera dan sokongan akar umbi PAS.

"Namun, Pas juga berdepan cabaran untuk memperluas pengaruhnya di kawasan campuran tanpa sokongan rakan strategik," katanya.

Sivamurugan berkata perkembangan itu juga mewujudkan ketidaktentuan dalam blok pembangkang dan membuka ruang kepada parti lain menyusun strategi bagi memperkukuh kedudukan menjelang PRU16.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement