Skip to main content

Politik

Ruang dialog UMNO-Pas direstui, Ahmad Zahid beri bayangan Muafakat Nasional 2.0?

PUTRAJAYA, 9 Jun -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Sambutan Hari Pendidik Peringkat KEMAS hari ini.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Pendidik peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini, pada Selasa. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan terbaharu antara kepimpinan UMNO dan Pas adalah direstui, ia bertujuan untuk merungkai beberapa isu berbangkit.

“Kita merestui perjumpaan yang menjadi inisiatif kepimpinan UMNO dan Pas untuk merungkai beberapa permasalahan yang bukan agenda politik.

“Jika ia ada terkait pun dengan politik, ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita tetap berada di dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini.

"Itu asas kita yang perlu dihormati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Pendidik peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini, pada Selasa.

Beliau bagaimanapun menegaskan ruang dialog perlu sentiasa dibuka bagi mencari titik persefahaman dan pendekatan baharu dalam landskap politik negara.

“Pintu harus juga dibuka untuk kita mengadakan perundingan dan juga mencari beberapa pendekatan baharu jika dinamika politik ini akan berlangsung suatu ketika nanti.

“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan dan tidak ada suatu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula.

“Saya melihat pertemuan ini satu langkah positif yang harus disusuli dengan beberapa langkah selanjutnya,” ujarnya.

Perkembangan terbaharu ini dilihat sesetengah pemerhati politik sebagai membuka ruang kepada kemungkinan kembali wujudnya kerjasama Muafakat Nasional (MN) atau MN 2.0 di antara kedua-dua parti.

Ia dilihat selari dengan pengenalan gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO yang bermatlamat mengumpulkan pelbagai pecahan parti politik Melayu di bawah satu bumbung.

MN sebelum ini ditubuhkan pada tahun 2019 melalui kerjasama UMNO dan Pas dengan matlamat menyatukan undi Melayu-Islam selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Namun pada tahun 2022, kerjasama itu berakhir apabila Pas memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu.

Must Watch Video

Advertisement