Skip to main content

Politik

PRN Johor: 2.7 juta layak mengundi, lebih 40,000 petugas pilihan raya dilantik

81691812118_PilihanrayaHariMe.jpg
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun, dengan SPR akan menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRN pada 12 Jun, bersekali dengan tarikh bagi PRN Negeri Sembilan. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 21 Mei.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata daripada jumlah itu, 2,703,175 merupakan pemilih biasa, manakala 24,751 terdiri daripada anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan pasangan tentera.

“Daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 56,655 orang pemilih merupakan orang kurang upaya (OKU) dan memerlukan perhatian khusus oleh SPR untuk mengundi dalam keadaan yang selesa,” katanya kepada Bernama.

Khairul Shahril berkata jumlah pemilih itu juga tertakluk kepada kemas kini Daftar Pemilih Tambahan yang akan digunakan dalam PRN Johor, setelah ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas yang akan diadakan pada 12 Jun ini.

“Sebanyak 42,023 petugas pilihan raya dijangka dilantik dan digerakkan bagi melaksanakan keseluruhan urusan penjalanan PRN tersebut,” katanya. 

Khairul Shahril berkata jumlah tersebut merangkumi 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya, petugas-petugas pilihan raya serta anggota keselamatan yang terlibat sepanjang tempoh pilihan raya.

Beliau berkata ketika ini, SPR sedang melaksanakan penelitian dan pengemaskinian maklumat berkaitan keseluruhan keperluan operasi serta logistik bagi pilihan raya itu.

“Secara prinsipnya, kos pelaksanaan pilihan raya bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah pemilih berdaftar, bilangan pusat dan saluran mengundi, pelantikan petugas pilihan raya, keperluan logistik, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya.

Khairul Sharil berkata SPR sentiasa mengoptimumkan penggunaan sumber dan perbelanjaan awam, bagi memastikan setiap pilihan raya dapat dilaksanakan secara cekap, berhemah dan mengikut keperluan operasi sebenar.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun, dengan SPR akan menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRN pada 12 Jun, bersekali dengan tarikh bagi PRN Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement