ALOR SETAR: Kedudukan Kerajaan Negeri Kedah kekal stabil meskipun Pas Pusat mengumumkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua Exco Kerajaan Negeri daripada Bersatu di negeri ini terus menjalankan tugas seperti biasa.
Menurutnya, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap barisan kepimpinan negeri selagi kedua-dua wakil rakyat Bersatu itu terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri.
“Buat masa ini mereka kekal sebagai Exco, tiada perubahan selama mereka menyokong Kerajaan Negeri. Pentadbiran negeri berjalan seperti biasa bersama barisan Exco sedia ada,” katanya.
Menurut Sanusi, dua wakil Bersatu dalam pentadbiran negeri ketika ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang memegang portfolio Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, selain Datuk Mohd Salleh Saidin (ADUN Kubang Rotan) yang menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan.
Bersatu Kedah sebelum ini mempunyai tiga Exco termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang memegang portfolio Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, namun beliau dipecat parti itu bulan lalu.
Tambah Sanusi, wakil Bersatu yang memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan anggota Majlis Ketua Kampung (MKK) turut dibenarkan meneruskan tanggungjawab masing-masing sehingga sebarang keputusan baharu dibuat.
Pada Isnin, Pas Pusat mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan umm
Susulan keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu, Pas akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pas juga bersikap terbuka untuk menerima hasrat daripada tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, serta aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu.
Pas dan Bersatu merupakan dua tunjang utama yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) sejak 2020, sebelum disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada 11 Februari 2021. - Sinar Harian