ALOR SETAR: Kedah dijangka mengekalkan barisan Exco dan lantikan lain yang menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri meskipun hubungan politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah ditamatkan di peringkat pusat.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keputusan itu dijangka kekal seperti sedia ada buat masa ini.
"Buat masa ini, kekal Exco dan lantikan lain yang menyatakan sokongan kepada kerajaan," katanya ringkas.
Sebelum ini, Bersatu mempunyai tiga wakil dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah iaitu Datuk Mohd Salleh Saidin (ADUN Kubang Rotan), Datuk Halimaton Shaadiah Saad (ADUN Bukit Kayu Hitam) dan Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti).
Bagaimanapun, Bersatu memecat Dzowahir dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, namun kedua-duanya dikekalkan dalam jawatan masing-masing oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), menerusi satu kenyataan di Facebook, menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Pas Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
"DUPP ingin menyeru seluruh anggota abnaul harakah agar menerima keputusan Pas Pusat dengan jiwa besar.
"Insya-Allah, apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. Pas tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah," jelasnya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerjasama antara Pas dan Bersatu sebelum ini berasaskan konsep ta'awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong-menolong atas dasar kebaikan.
Menurutnya, prinsip tersebut seharusnya menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan Pas secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah.
"Seharusnya prinsip ini menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan Pas secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah," katanya.
Beliau berkata, agenda memperjuangkan gagasan penyatuan ummah merupakan teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP.
"Ia wajar digerakkan secara konsisten, apatah lagi dalam kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya secara lebih strategik.
"Namun, apabila kerjasama politik ini tidak menatijahkan penyatuan ummah yang lebih besar, tambahan pula terdapat halangan tertentu, maka pendirian yang dinyatakan oleh Pas Pusat ini hadir tepat pada masanya," katanya. - Sinar Harian