KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu meminta semua pihak kekal bertenang susulan keputusan mengejut Pas memutuskan hubungan kerjasama politik dengan parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris ketika dihubungi memberikan reaksi ringkas bagi meredakan keadaan yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
"Kekal tenang. Sabar dulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu turut dilihat memuat naik perkataan 'Alhamdulillah' di platform media sosial beliau pada malam Isnin, dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan landskap politik semasa.
Razali yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, sebelum ini mendapat julukan sebagai 'giant killer' selepas memenangi kerusi DUN N.30 Kijal atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023.
Dalam saingan sengit itu, beliau memperolehi 13,403 undi sekali gus menang dengan majoriti 3,758 undi menewaskan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang sekadar mendapat 9,645 undi.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan drastik menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan bagi membincangkan hala tuju parti mendepani fasa politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, ketetapan memutuskan hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.
Menurut Abdul Hadi, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan ummah.
Jelas beliau, Pas kini akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai langkah persediaan bagi menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. - Sinar Harian