Skip to main content

Politik

Krisis Pas-Bersatu: Kerjasama tanpa keikhlasan tidak kekal - Ahmad Zahid

Zahid Hamidi UMNO, politik
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Pendidik peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini, pada Selasa. - Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penamatan kerjasama Pas dan Bersatu merupakan satu pengajaran penting, iaitu sebarang hubungan politik harus berasaskan keikhlasan serta matlamat jangka panjang demi kepentingan negara.

Menurut Presiden UMNO itu, situasi sedemikian sudah dijangkakan berlaku, apatah lagi jika sesebuah kolaborasi tidak dibina atas asas yang kukuh.

“Kami telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum Allah, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik.

“Sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Pendidik peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini, pada Selasa.

Tegas Zahid, krisis yang berlaku wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak dalam membentuk kerjasama politik pada masa hadapan.

“Ini merupakan satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.

“Ianya mesti dibuat untuk satu jangka masa yang panjang agar matlamat negara dapat dicapai, penyatuan anak bangsa dapat dilakukan,” katanya.  

Tambahnya, kejayaan sesebuah kerjasama bukan semata-mata bergantung kepada perjanjian atau bai’ah yang dimeterai.

“Saya harap jika ada pun langkah-langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya penandatanganan di atas kertas.

“Tetapi lebih penting adalah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk suatu jangka panjang dan berkekalan,” katanya.  

Pada Isnin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memutuskan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Tambah beliau, suatu bentuk persefahaman politik baharu dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah akan diteroka.

Must Watch Video

Advertisement