KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dakwaan wujud komplot melibatkan parti politik tertentu bagi menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan kini di tangan rakyat memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan dan negeri berkenaan bakal berdepan pilihan raya.
“Kita dah bubar DUN. Biar rakyat buat penilaian dan buat keputusan. Rakyat ada mata untuk melihat apa yang berlaku.
“Biarlah rakyat yang membuat penilaian. Biarlah rakyat menjadi hakim terhadap perkara ini. Kita akan masuk pilihan raya dan lawan dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas beliau menyempurnakan program Cermat MADANI, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan dakwaan yang tular di media sosial wujudnya komplot menjatuhkan Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Anthony bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan berkata rakyat akan membuat penilaian terhadap segala pendedahan yang timbul.
“Ini termasuk pendedahan daripada Bersatu berkenaan apa yang mereka rancang dengan Pas dan pihak-pihak lain. Rakyat akan menilai segala-gala itu,” ujarnya.
Anthony turut menegaskan, kekecewaan tidak seharusnya menjadi sebahagian dalam kancah politik.
“Dalam politik ini kita kena ada harapan. Tak boleh kecewa, kena ada harapan,” katanya.
Mengulas sama ada Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh kelebihan susulan keputusan Pas pada Isnin menamatkan kerjasama dengan Bersatu, Anthony enggan membuat sebarang spekulasi.
“Itu masalah merekalah,” katanya ringkas.