KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan akan terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan teras perjuangannya meskipun Pas memutuskan menghentikan kerjasama politik dengan parti itu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak Pas.
Beliau berkata Bersatu, sebagai parti pengasas PN, akan terus komited memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa gabungan itu sejak penubuhannya.
“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendukung hasrat rakyat yang mahukan perubahan dan kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” kata Pengerusi PN itu dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, parti berkenaan juga menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Pas kerana kerjasama yang dibina sebelum ini berasaskan semangat dan persefahaman yang luhur.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru ahli parti dan rakan seperjuangan agar terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan PN serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama perjuangan.
Menurutnya, setiap lapisan pimpinan dan ahli perlu menghadapi ujian terbaharu itu dengan semangat yang lebih tinggi dan terus komited memperjuangkan agenda rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, beliau yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama gabungan tersebut.
“Insya-Allah, tentunya ada hikmah daripada apa yang berlaku. Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk, taufiq dan hidayah-Nya,” ujarnya.
Semalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan membuat keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.