Skip to main content

Politik

Bersama Rafizi bakal senasib dengan Pejuang Tun Dr Mahathir - MAPAN

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi ahli baharu Parti Bersama Malaysia (PBM) pada Perhimpunan Hala Tuju Politik di PJ Perfoming Art Center hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mashitah berkata, Rafizi hanya menjadi Menteri Ekonomi kurang daripada tiga tahun dan tidak mempunyai jasa serta legasi besar seperti rekod pembangunan fizikal di mana-mana kawasan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang ditubuhkan Datuk Seri Rafizi Ramli hampir pasti akan bernasib sama seperti Parti Pejuang Tanah Air yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menegaskan, situasi berkenaan berlaku kerana politik Malaysia tidak pernah memihak kepada parti yang hanya bersandarkan satu individu tertentu.

“Bandingkan sahaja rekod Rafizi dengan rekod Dr Mahathir yang memerintah negara selama 22 tahun, membangunkan Langkawi, membina Putrajaya dan KLIA, tetapi tetap hilang deposit di kubu sendiri pada PRU15.

“Calon-calon Parti Pejuang yang beliau tubuhkan pula hilang deposit di hampir semua tempat. Jika nama sebesar Mahathir pun boleh ditolak mentah-mentah oleh pengundi, apatah lagi Rafizi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mashitah berkata, Rafizi hanya menjadi Menteri Ekonomi kurang daripada tiga tahun dan tidak mempunyai jasa serta legasi besar seperti rekod pembangunan fizikal di mana-mana kawasan.

Jelasnya lagi, pengaruh beliau tertumpu di kawasan bandar besar seperti Pandan dan Setiawangsa sahaja, tetapi itu tidak cukup untuk menang di peringkat nasional.

Tambahnya, pengundi biasanya menilai sesebuah parti berdasarkan ideologi, jentera akar umbi dan kerja nyata di kawasan, bukan kerana populariti tokoh di media sosial.

“Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan untuk menang, sesebuah parti perlu menembusi Felda, kawasan pedalaman dan kawasan luar bandar yang langsung tidak terkesan dengan wacana idealisme bandar.

“Pengundi luar bandar tidak mengundi kerana debat Twitter atau pendedahan skandal. Mereka mengundi kerana bantuan sara hidup, projek jalan raya, elektrik dan air serta kehadiran pemimpin di majlis kenduri.

“Populariti dalam kalangan anak muda juga tidak bermakna jika kadar keluar mengundi mereka rendah,” katanya.

Beliau berkata, parti berasaskan ideologi seperti DAP dan Pas kekal relevan kerana mempunyai jentera dan identiti yang jelas, manakala parti personaliti seperti Semangat 46 dan Pejuang semuanya tenggelam selepas satu atau dua pilihan raya.

Katanya, tanpa struktur parti dan naratif yang lebih daripada sekadar anti-establishment, Parti Bersama juga akan berakhir sebagai parti yang sekadar boleh buat bising di media sosial atau ceramah saja tetapi gagal memberi impak di Parlimen.

Must Watch Video

Advertisement