LENGGONG: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang juga Ahli Parlimen Lenggong.
Usai merasmikan SMTDR Lenggong, Sultan Nazrin berkenaan melawat pameran yang disediakan sebelum ke majlis santapan dan berangkat pulang.
Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata bagi tahun kewangan 2026, hampir RM17 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi pengurusan rangkaian lima SMTDR di negeri itu merangkumi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama dan penyelenggaraan.
“Peruntukan ini menggambarkan bahawa pembangunan pendidikan tidak hanya diukur pada binaan fizikal semata-mata, yang lebih utama ialah memastikan suasana pembelajaran yang baik, kebajikan pelajar dipelihara dan guru-guru terus mempunyai ruang terbaik mendidik generasi pewaris negeri,” katanya.
Lima SMTDR yang telah beroperasi di Perak selain di Lenggong terletak di daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Gunung Semanggol), Batang Padang (Sungai Lesung) dan Kinta (Ipoh).
Berkenaan SMTDR Lenggong, Saarani berkata operasi awal sekolah itu bermula pada 3 Jan 2012 di tapak sementara Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah As-Syakirin, Kampung Lenggong sebelum berpindah ke tapak tetap di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada 3 Ogos 2020.
“Selepas hampir sembilan tahun beroperasi di tapak sementara, SMTDR Lenggong kini berdiri di kawasan seluas 78,460 meter persegi dengan kemudahan yang lebih sesuai untuk pembelajaran, hafazan, kehidupan asrama serta pembentukan disiplin pelajar,” katanya.
Beliau berkata tanah bangunan sekolah itu didaftarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebagai Maahad Tahfiz di bawah instrumen Wakaf Khas dan setakat ini SMTDR Lenggong mempunyai 176 pelajar lelaki dengan dibimbing 43 tenaga pengajar.
Beliau berkata SMTDR Lenggong memperlihatkan peningkatan prestasi akademik apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 3.28 pada 2023 kepada 2.05 pada 2024, sebelum mencatatkan GPS 2.18 pada 2025.
“Pencapaian ini meletakkan SMTDR Lenggong sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selama dua tahun berturut-turut,” katanya.
-- BERNAMA