Skip to main content

Malaysia

Salah guna visa: Jawatankuasa khas urus isu persaingan ekonomi dengan warga asing - Akmal Nasrullah

Kuala Lumpur , 9 Jun 2026. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada sidang media berikutan Invest Malaysia di Mandarin Oriental Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Akmal Nasrullah ketika ditemui pemberikta selepas menghadiri Invest Malaysia 2026,si sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi penekanan kepada penubuhan jawatankuasa khas memastikan persaingan ekonomi kekal adil, khususnya membabitkan perniagaan milik warga asing.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan berperanan menyelaras pelbagai kementerian berkaitan yang terlibat secara langsung dalam ekosistem perniagaan.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa ini penting kerana isu yang dibincangkan merentas pelbagai bidang kuasa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berurusan dengan pengguna serta Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang menguruskan peniaga kecil dan sederhana.

“Sudah pasti kemudahan melakukan perniagaan amat penting untuk membolehkan kegiatan ekonomi berjalan lancar, tetapi pada masa yang sama kita perlu mengurus supaya tidak berlaku persaingan tidak sihat.

"Perkara ini telah dibawa ke perhatian Kabinet dan Kabinet telah memutuskan penubuhan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Kementerian Kewangan untuk meneliti isu ini secara menyeluruh kerana ia melibatkan pelbagai kementerian.

"Dari sudut kementerian ekonomi sendiri, selain memudahkan urusan perniagaan, kita juga perlu pastikan perniagaan yang dijalankan lebih adil dan memberi peluang kepada peniaga tempatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Invest Malaysia 2026, pada Selasa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing.

Must Watch Video

Advertisement