DUNGUN: Dua rakan terkilan kerana gagal menyelamatkan dua beradik yang dikhuatiri lemas, iaitu Muhammad Amir Ashraf Mohd Zul Zunaidi, 15, dan Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul Zunaidi, 14, ketika mandi di Sungai Beril dekat Taman Beril, Paka, di sini hari ini.
Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15, berkata dia dan seorang lagi rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14, cuba menyelamatkan dua beradik itu selepas melihat mereka terkapai-kapai meminta bantuan ketika dihanyutkan arus sungai dalam kejadian pada 10.56 pagi.
Katanya, dia cuba menyelamatkan Muhammad Amir Ashraf, manakala Muhammad Farish Iqbal pula bergegas menyelamatkan Muhammad Aidil Amsyar.
"Ketika (Muhammad) Farish (Iqbal) cuba menyelamatkan (Muhammad) Aidil (Amsyar), secara tiba-tiba Aidil panik dan menerpa belakang Farish menyebabkan Farish turut tenggelam, namun dia berjaya menimbulkan diri dan berenang ke tepi sungai untuk mengambil kayu.
"Aidil kemudiannya menghampiri saya yang sedang memegang tangan abangnya (Muhammad Amir Ashraf). Apabila Aidil berpaut pada abangnya, genggaman saya terlepas dan kedua-dua beradik itu kemudian hanyut dibawa arus," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Muhammad Afi Naashif berkata sebelum kejadian, mereka yang tinggal di Kampung Kolam di sini mandi di sungai tersebut pada 10.50 pagi.
"Sebaik sahaja kami sampai, dua beradik itu sangat teruja kerana hajat mereka nak mandi sungai tercapai. Mereka yang ajak kami ke sini kerana esok mereka akan pulang ke Kelantan untuk beraya," katanya.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, keadaan air sungai surut dan mereka mengambil keputusan turun untuk mandi di sungai tersebut.
"Bagaimanapun ketika mandi, paras air sungai semakin meningkat dan arus agak deras sebelum dua beradik itu hilang," katanya dengan nada sebak.
-- BERNAMA